Thursday, December 12, 2013

FAQ On Sakit Sendi Facet

Assalamualaikum Dr Nizar, saya Nurulhana dari Kedah, berumur 29 tahun. Saya telah mengalami sakit kepala bertahun lamanya, rasa sakit pada bahu malah tangan saya sering terketar-ketar dan sakit menyucuk-nyucuk seperti ada jarum serta berasa lemah dan kebas dikedua tangan dan kaki sejak 2004. Kadang-kala apabila memegang barang, terlepas. Setelah berapa lama saya mendapat rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan dirujuk ke Hospital Pulau Pinang, mereka masih tidak mengetahui punca penyakit saya. Akhirnya, dalam bulan 9 lepas, kerana tidak dapat menahan sakit lagi saya pergi ke kecemasan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan kebetulan pada masa tu seorang doktor dari bahagian orthopedik meminta saya membuat X-ray tengkuk. Keputusan X-ray menunjukkan tulang tengkuk saya lurus dan seterusnya saya diusulkan untuk membuat MRI Cervical Spine. Saya mengambil keputusan membuat MRI tersebut dihospital swasta kerana untuk temujanji di Hospital Sultan Abdul Halim mengambil masa. Keputusan MRI tersebut saya bawa ke Hospital Sultan Abdul Halim dan akhirnya saya dirujuk ke Pakar Orthopedic. Keputusan dari MRI menunjukkan ada Disc Herniation (Sliped Disc) ke arah belakang dan bersentuh dengan selaput saraf tunjang tetapi belum menekan saraf tunjang. Level yang terlibat dari C3 hingga C7. Saya diberi ubat Neurotin (Gabapentin) kapsul dan vitamin B.
Saya juga membuat fisioterapi (Cervical Traction) tetapi setiap kali selepas rawatan saya akan berasa pening dan sakit pada bahagian belakang (bawah) kepala. Mereka tidak lagi membuat traction tapi menggantikannya dengan ultrasound tetapi saya tetap berasa sakit dan kebas ditangan dan kaki serta sakit dibahagian bahu dan kepala yang amat sangat dan selalu rasa loya. Segala aktiviti seharian saya terganggu oleh kesakitan tersebut. Doktor cakap keputusan MRI tersebut adalah 'mild' tetapi saya terasa kesakitan yang amat sangat. Persoalannya, adakah saya terpaksa menanggung kesakitan ini seumur hidup? Adakah penyakit saya boleh dirawat dan bagaimanakah cara rawatannya? Di sini juga saya sertakan keputusan ujian MRI. Saya harap doktor dapat membantu dan memberitahu serba sedikit kaedah rawatan yang bersesuaian. Sekian, terima kasih.

Jawapan Dr Nizar

Salam. Apa khabar Nurulhana? Harap dapat bersabar dan ceria-ceria selalu  kerana masih ada harapan baru untuk sembuh. Apa yang anda hadapi sekarang ialah sakit sendi facet tengkok (Cervical Facet Syndrome) sejenis arthritis sendi pada leher. Ia memberi semua simptom yang anda bagitahu termasuklah “accessory” lain seperti gejala ENT telinga berdengung dan rasa hanyut seperti hendak pitam (dizziness), perut banyak angin/simptom gastritis dan kerabunan mata. Ini bukan sakit Slipped Disc tengkok. Jadi saya tidak hairan dengan keputusan MRI tengkok anda normal atau Slipped Disc yang “sedikit”. Sakit sendi facet tidak dapat dikesan melalui ujian MRI kecuali jika sampai ketahap yang “advance”.
Ramai pesakit datang menerima rawatan dari saya dan cerita mereka semua sama saja seperti cerita anda. Kebanyakan doktor pakar pun tidak dapat mengenalpasti penyakit ini termasuklah Spine Surgeon. Kebanyakan pesakit sudah banyak ikhtiar dan hampir kecewa. Ada juga yang mengalami kemurungan apabila simptom-simptom ini menyukarkan kehidupan seharian mereka. Keadaan ini akan lebih teruk lagi apabila doktor mengatakan tidak ada penyakit yang dikenalpasti.
Semua rawatan yang sudah anda buat termasuk traction sebenarnya tidak perlu. Ubat tahan sakit pun biasanya tidak berkesan apabila keadaan anda sudah teruk. Rawatan yang terbaik ialah suntikan RF pada sendi tengkok tersebut. Kejayaan rawatan suntikan RF ini dalam 80%. Kelegaan besar akan dirasa lepas 12 jam selepas suntikan (esok pagi). Semua simptom yang anda berikan itu dapat dirawat tetapi yang paling degil ialah rasa hanyut dan berdengung telinga, mungkin perlu suntikan kali kedua untuk plan B jika simptom hanyut masih ada. Jangan hidup menderita dalam kesakitan sedangkan ada rawatan yang efektif. Penyakit ini tidak akan menyebabkan mati seperti sakit jantung atau kanser. Tetapi penyakit ini memberi rasa sakit dan merana seolah-olah mematikan kehidupan. Jika dibiarkan, sakit kronik ini akan menyebabkan anda menjadi hilang upaya contohnya tidak boleh bangun, berjalan, memandu kereta malah bekerja dipejabat disebabkan oleh rasa hanyut dan berpusing-pusing.



Sunday, August 25, 2013

Bagaimana Menangani Kesakitan Kronik Anda

Kesedaran tentang rawatan dan kepakaran rawatan kesakitan  kronik(chronic pain) ini agak baru di malaysia. Lapan tahun yang lalu semasa di Sydney, Australia saya amat kagum melihat bagaimana pesakit kesakitan kronik mereka boleh sembuh dengan rawatan yang diberikan. Sedangkan di Malaysia pada masa itu belum ada lagi doktor yang pandai dalam bidang ini. Pada masa itu pesakit kesakitan kronik kita terlantar dan kurang diberi perhatian. Tambahan pula faktor psikologi dan yang kompleks dan sakit yang rentan pada pelbagai rawatan  standard menyebabkan ramai pengamal perubatan kurang berminat dalam merawat pesakit seperti ini. Akibatnya pesakit akan  keseorangan menanggung sakit sepanjang hidup. Artikel ini bertujuan untuk menimbulkan kesedaran pada semua pembaca dan pesakit kerana peluang untuk sembuh dari kesakitan kronik kini ada di Malaysia.
Definisi kesakitan kronik ialah kesakitan tubuh badan yang kronik dan berpanjangan lebih dari 6 bulan. Contohnya sakit belakang, sakit tengkok, sakit sendi, sakit kepala/migrine, sakit berpunca dari kanser, sakit yang berlarutan selepas pembedahan dan sakit saraf (neuropathic pain).

Kenapa Kesakitan Kronik Perlu Rawatan Yang Khusus?

Perubahan “neurochemical” kompleks pada sistem saraf pusat telah menyebabkan kesakitan kronik berpanjangan dan luar biasa. Kesakitan dalam tempoh yang lama telah memberi impak negative kepada aspek biologi, psikologi dan sosial yang kompleks dalam kehidupan anda. Ubat dan kaedah biasa untuk merawat kesakitankronik ini tidak memadai malah ia memerlukan rawatan dan kepakaran yang khusus dan holistik. Anda perlu dirawat oleh pakar kesakitan kronik atau “pain specialist”.

Jenis-jenis kesakitan kronik (Chronic Pain)
·         Sakit berpunca dari kanser (Cancer Pain)
·         Sakit berpunca dari keradangan kronik seperti sakit sendi @ arthritis
·        Sakit saraf (Neuropathic Pain)yang selalunya berpunca dari kerosakan atau fungsi yang luar kawalan.
·         Sakit otot & fascia (Myofascial Pain Syndrome,fibromyalgia)
·         Sakit tulang (Bone pain)
·         Sakit yang disebabkan oleh faktor psikologi( psikosomatik, kemurungan)
·         Campuran daripada penyebab diatas
Klasifikasi ini penting kerana mekanisma kesakitan adalah berbeza dan sudah tentu mempunyai kaedah rawatan yang khusus. Doktor akan membantu bagi mengenalpasti jenis kesakitan anda dan menerangkan pelan rawatan yang terbaik yang biasanya komprehensif dan multimodal (pelbagai).

Kesakitan kronik menjejaskan kehidupan anda

Kesakitan kronik selalunya datang dengan kerangka bio-psiko-sosial yang komplek dan saling berinteraksi secara langsung antara satu sama lain. Contohnya anda akan perasan yang sebenarnya banyak masalah lain menyusul sebagai komplikasi dari kesakitan kronik anda. Tidur anda terganggu, tubuh menjadi letih, pretasi tempat kerja menurun, kurang motivasi, rasa risau dan kemurungan dan sebagainya. Semua masalah ini akan menjadi bertambah besar dan berganda dari hari kehari. Setiap komponen masalah  ini mampu menggandakan masalah lain. Anda mesti keluar daripada kitaran permasalahan ini sebelum ia menjadi bencana yang tidak dapat dipulihkan. Oleh itu rawatan kesakitan kronik memerlukan strategi rawatan yang komprehensif dan holistik yang mana setiap komponen adalah sama penting. Pengabaian satu komponen masalah akan menyebabkan penyembuhan komponen lain turut terbantut.
Setiap individu mempunyai pengalaman dan tindakbalas yang berbeza terhadap kesakitan mereka. Ianya kadangkala menjadi sukar bagi orang lain untuk memahami masalah anda, orang yang paling tepat untuk menakrifkan sakit adalah diri anda sendiri, maka adalah penting untuk anda memberikan gambaran yang jelas tentang keperitan  pengalaman kesakitan anda dan kesannya dalam kehidupan anda kepada doktor yang merawat.
Kesakitan kronik tidak membunuh anda tetapi ia boleh membunuh kehidupan anda. Anda tentu sedia maklum bahawa banyak aktiviti yang anda suka kini tidak dapat dilakukan disebabkan oleh kesakitan ini. Kesakitan kronik seolah-olah mengongkong kehidupan anda. Sebagai contohnya anda mungkin telah mengalami masalah-masalah seperti berikut:  
q  Gangguan tidur
q  Keletihan berpanjangan
q  Kesedihan, bimbang, mudah marah, putus asa dan depresi (kemurungan)
q  Tidak dapat memberi perhatian kepada keluarga  yang tersayang
q  Anda tidak dapat bersosial dan melakukan hobi anda
q  Merasa terasing dalam dunia sendiri
q  Takut untuk bersenam atau bergerak, menyebabkan otot menjadi lemah, kecut dan sendi menjadi ketat (deconditioning)
q  Hilang mata pencarian dan hilang pekerjaan
q  Wujudnya tekanan kepada ahli keluarga yang lain.
q  Bergantung kepada orang lain untuk kepentingan diri sendiri.
q  Resiko kegemukan (obesiti)
Anda pasti tidak mahu mensia-siakan umur anda hanya dengan menangisi kesakitan yang anda tanggung. Anda perlu kawal kesakitan anda dan jangan biarkan kesakitan kronik ini mengongkong anda. Pakar kesakitan kronik  sedia membantu anda.

Bolehkah kesakitan kronik diubati?

Di hospital, pesakit kesakitan kronik dirawat di klinik kesakitan kronik (pain clinic). Bagi pesakit yang terlantar dalam ward rujukan boleh dibuat kepada pakar kesakitan kronik. Adalah menjadi “standard practice” bahawa pesakit akan dinilai/rawat oleh pelbagai doktor dari discipline yang berlainan untuk menghasil resolusi rawatan terbaik.
Kebanyakan kesakitan kronik dapat dikawal jika pesakit memberikan kerjasama dan mematuhi rawatan yang telah dirancang oleh doktor. Setiap kaedah mempunyai peranan yang penting dan tidak boleh diabaikan. Rawatan secara komprehensif dan multimodal adalah rawatan yang utama untuk kejayaan merawat kesakitan kronik.
Anda perlu tahu bahawa keberkesanan rawatan adalah bergantung kepada jenis kesakitan anda, setiap individu mempunyai tindakbalas yang berbeza terhadap rawatan dan ubatan yang diberikan. Kesakitan yang sama tidak semestinya dapat dikawal dengan ubat yang sama kepada semua pesakit. Anda boleh berbincang dengan doktor sekiranya rawatan yang sedia ada tidak membantu atau terdapat kesan sampingan ubat yang tidak diingini. Ada ubat pilihan lain yang dapat membantu anda. Selain daripada ubatan terdapat beberapa kaedah lain yang boleh dipertimbangkan oleh doktor sebagai alternatif contohnya kaedah intervensi (suntikan), fisioterapi dan rawatan cognitive (cognitve behaviour therapy).
Selain dari peranan doktor, anda juga perlu secara aktif mengambil peranan dalam program rawatan. Ini adalah kerana anda bakal menanggung kesengsaraan itu sepanjang hidup anda. Dan orang paling membantu dalam hidup anda adalah diri anda sendiri. Jadi anda perlu belajar tentang penyakit anda dan cuba faham akan strategi setiap bentuk rawatan/ubat. Anda perlu faham bahawa kebolehan  untuk mengawal kesakitan haruslah bermula daripada dalam diri anda sendiri.
Motivasi yang tinggi, ketabahan dan bersikap positif adalah penting dalam rangka rawatan kesakitan kronik. Ia memakan masa yang agak lama dan perlu kesabaran. Kajian seluruh dunia telah membuktikan bahawa rawatan multimodal kesakitan kronik mampu mengembalikan kehidupan anda. Matlamat utama rawatan ialah mengurangkan rasa sakit semaksima mungkin dan mampu kembali bekerja.

Kaedah ubatan

Ubatan adalah teknik rawatan utama yang digunakan dalam menangani kesakitan kronik. Pengunaan ubatan adalah berbagai, terdapat tablet, kapsul, suntikan, tampalan ubat pada kulit dan lain-lain teknik yang berbeza dengan klinik lain. Ubat makan mungkin berfungsi untuk mengurangkan sakit, penenang fikiran, ubat saraf,  pelembut otot dan anti osteoporosis. 
Adalah penting untuk anda mengetahui bahawa terdapat ubatan yang perlu diambil secara tetap dan berkala mengikut jadual (Gabapentin, Carbamazepin), dan terdapat juga ubat  yang diambil bila perlu sahaja seperti yang telah diarahkan oleh doktor. Anda dikehendaki patuh pada preskripsi yang diberikan bagi memastikan keberkesanan rawatan yang disediakan untuk anda. Terdapat juga ubat yang akan memberi kesan hanya selepas 1 atau   2 minggu diambil, ubatan tersebut adalah seperti tablet Gabapentin, Carbamazepin dan Amitriptyline. Oleh itu jangan putus asa dan kecewa jika belum rasa lega, teruskan makan ubat itu sehingga diberitahu.
Setiap individu mempunyai tindakbalas yang berbeza berbanding dengan individu yang lain, maka doktor akan memberikan kombinasi dan dos yang berbeza bagi memastikan yang mana lebih berkesan kepada anda. Kombinasi ubat yang berbagai adalah bertujuan meningkatkan kesan sinergistik ubat.

Fisioterapy dan senaman
Berehat lama akan menyebabkan otot anda akan menjadi kecut dan lemah. Sendi anda akan menjadi kaku. Urat ligamen akan menjadi kurang anjal. Tulang anda akan menjadi osteoporosis dan mudah patah. Otot yang lemah dan sendi yang kaku menyebabkan susah untuk bergerak. Akibatnya anda akan menjadi “lumpuh”. Apabila masa berlalu, keadaan ini akan bertambah teruk dan sebarang cara untuk bergerak akan lebih susah dan menyebabkan lebih sakit. Sebaliknya otot akan lebih besar dan kuat, sendi kita akan lebih fleksible dan kuat jika selalu digunakan. Prinsip ini sama dengan senaman yang dipraktiskan oleh  atlit bina badan.
Kebanyakkan kesakitan kronik (selain dari sakit kanser) adalah berlaku tanpa kecederaan. Anda  perlu faham bahawa ianya hanyalah isyarat sakit tanpa bahaya. Oleh itu jangan biarkan kesakitan kronik itu mengawal pergerakan anda, sebaliknya anda yang mengawal fikiran dan perasaan anda. Oleh itu anda perlu bergerak dan lakukan senaman tanpa was-was.
Fisioterapi dan senaman adalah penting kerana:
q  Meningkatkan mortiliti dan pergerakan sendi dan otot. Maka mutu kehidupan secara keseluruhan akan bertambah baik.
q  Membantu anda bagi mengurangkan kesakitan – senaman akan meransang otak bagi mengeluarkan endorphine yang terdapat didalam badan anda bagi membantu mengurangkan kesakitan.
q  Sesetengah jenis kesakitan kronik dapat ditangani secara lebih berkesan dengan senaman yang khusus.Contohnya senaman regangan untuk sakit otot myofascial pain syndrome
q  Mood, emosi yang baik dan “feel of well being” dapat dihasilkan melalui senaman.
q  Sesetengah kesakitan kronik disebabkan oleh sikap kerja, posisi kerja, biomekanik yang tidak betul menyebabkab otot kita kerja teruk atau tercedera. Oleh itu latihan pengubahsuaian boleh dipelajari ketika sesi fisioterapi/rawatan carakerja.
Anda mungkin akan bertambah sakit pada permulaannya, tapi itu adalah sementara. Ia adalah disebabkan oleh otot yang tidak aktif dan kejang tapi anda perlu ingat bahawa ianya akan beransur pulih jika senaman dilakukan secara berperingkat dan  berterusan. Senaman terbukti dapat mengurangkan kesakitan kronik.Untuk kesan jangka panjang, anda diminta belajar dan  melakukan senaman ini berterusan di rumah.

Kaedah intervensi (interventional pain management)

Kaedah secara intervensi adalah kaedah suntikan khas yang dilakukan pada tubuh yang sakit. Procedure ini dilakukan dalam bilik pembedahan dibawah kawalan X Ray atau mesin ultrasound. Pakar kesakitan kronik tidak melakukan pembedahan, hanya suntikan. Terdapat 100 kaedah suntikan dengan perbagai jarum yang berbeza yang boleh dilakukan bergantung kepada jenis penyakit. Suntikan ini bertujuan untuk mempercepatkan kelegaan sakit yang amat sangat dikalangan pesakit. Ianya juga dilakukan sebagai penyelamat jika tablet/kapsul sebelum itu tidak berkesan. Setengah kes didapati kesan tablet/kapsul lebih effektif selepas menjalani kaedah suntikan. Kaedah suntikan ini amat popular dikalangan pesakit yang mengalami kesakitan tulang belakang dan tengkok. Dalam kes-kes tertentu, kaedah intervensi boleh menjadi rawatan pilihan selain daripada rawatan pembedahan tulang belakang pada kos yang lebih murah dan selamat. Biasanya kaedah ini dilakukan oleh pakar kesakitan kronik yang terlatih untuk menjamin penyembuhan dan mengelakkan komplikasi. Di Hospital Universiti Sains Malaysia kaedah intervensi ini telah menjadi keutamaan dan telah dapat menyembuhkan ramai pesakit.
Contoh teknik intervensi yang selalu dilakukan ialah:
q  Suntikan ubat ke dalam sendi
q  Injeksi Botox pada otot yang sakit
q  Rawatan Radiofrequency pada saraf yang sakit
q  Epiduroplasty
q  Suntikan  Epidural
q  Intrathecal pump
q  Spinal cord stimulation
q  Intradiscal radiofrequency therapy.
q  Prolotherapy

Kaedah secara intervensi adalah kaedah suntikan khas yang dilakukan dalam bilik pembedahan dibawah kawalan X Ray. Teknik ini telah banyak menyembuhkan pesakit.

Terapi psikologi (Cognitive behaviour therapy)
Terdapat juga pesakit yang tidak langsung bertindakbalas terhadap semua cara rawatan (rentan). Mereka akhirnya terpaksa hidup dalam kesakitan. Di Pain Unit, Hospital USM ketagori pesakit yang rentan kepada rawatan adalah kurang dari 10%. Dalam keadaan ini adalah lebih baik pesakit memfokuskan pada bagaimana untuk kembali berfungsi dan mengurus diri anda daripada hanya memikirkan penyembuhan kesakitan itu semata-mata.
Terapi psikologi (Cognitive behaviour therapy) adalah merupakan rawatan yang paling sesuai untuk pesakit jenis ini. Pesakit akan dilatih untuk menguruskan rasa sakit dan bagaimana menguruskan kehidupan dengan kesakitan yang sedia ada. Kaedah ini membimbing pesakit untuk mengawal kesakitan dengan cara minda yang positif (helpful tought) dan seterusnya menghasilkan persepsi dan tindakan yang membina.

Sunday, July 14, 2013

Rawatan Radiofrekuensi ; Jawapan Pada Sakit Belakang Sendi Facet.

Jika anda mengalami kesakitan pinggang atau tengkok yang kronik anda perlu baca artkel ini. Kesakitan anda mungkin disebabkan oleh arthritis sendi facet atau dikenali sebagai facet joint syndrome. Sekarang ini ada kaedah yang berkesan untuk merawat penyakit ini.
Penyakit arthritis sendi facet ini banyak berlaku dikalangan kita. Punca penyakit sendi facet ini adalah disebabkan oleh proses penuaan (degenerative disease). Ianya samalah sepert sakit arthritis pada lutut. Walaupun begitu penyakit ini bukan hanya terhad pada orang tua sahaja kerana orang muda juga menghadapi risiko penyakit ini jika mereka mengalami kecederaan pada tulang belakang seperti kemalangan jalanraya, atau pembedahan tulang belakang. Kegemukan dan bidang kerja yang melibatkan angkat objek berat juga  akan memberi resiko penyakit ini. Penyakit sendi facet juga boleh berlaku susulan dari penyakit lain pada tulang belakang seperti slipped disc.
Sendi facet yang berfungsi untuk menyokong dan memusing tulang belakang


Gejala klinikal penyakit sendi facet.
Gejala (symptom) klinical penyakit sendi facet ini bergantung kepada bahagian tulang belakang yang terlibat.

  1. Bahagian pinggang;Pesakit akan mengalami kesakitan pada pinggang jika duduk atau berdiri lama. Oleh itu pesakit tidak mampu duduk lama kerana akan rasa lenggoh pada pinggang. Tapi sakit akan lega bila berbaring. Sakit akan bertambah kuat jika pesakit mendongak atau memusingkan badan kebelakang. Bagi orang Islam, duduk tahiyat ketika solat akan mencetuskan rasa sakit tersebut.
  2. Bahagian leher;Pesakit akan memberi tiga gejala yang utama iaitu sakit pada belakang tulang tengkok, pening pada bahagian belakang kepala hingga keubun-ubun dan sakit pada otot leher, bahu atau belikat.
Biasanya penyakit ini juga disusuli dengan kekejangan otot leher atau belakang. Jika berlarutan (kronik) ianya dikenali dengan syndrom sakit myofasia (Myofascial pain syndrome). Oleh itu pesakit akan mengalami beberapa jenis sakit dan puncanya (sakit sendi facet dan sakit otot) dalam satu masa. Kadang-kadang kesakitan  dari otot yang kejang ini mendominasi sakit dari sendi facet yang dihadapi. Diantara ciri sindrom myofascia ini ialah sakit otot ini akan menjalar turun atau naik ketepat lain. Contohnya jika otot tengkok terlibat sakit pada otot ini akan menjalar naik ke kepala atau ke tangan. Jika otot pada pinggang terlibat, sakit akan menjalar turun ke pinggul dan belakang peha.
Kesilapan diagnosis dan rawatan sering berlaku jika doktor yang merawat kurang arif tentang penyakit sindrom myofascia ini kerana ianya baru dikalangan pengamal perubatan Malaysia.

Rawatan Penyakit Sendi Facet.

Rawatan untuk kesakitan sendi facet ini ada beberapa peringkat. Jika ianya ringan, sakit ini boleh diubati dengan ubat NSAID seperti celebrex dan rawatan physioterapi. Tapi jika sakit itu  kuat pastinya ubat makan saja tidak akan mampu melegakan kesakitan anda. Yang pastinya kesakitan ini akan menjejaskan fungsi harian anda. Pada peringkat ini apa yang anda perlu ialah rawatan suntikan radiofrequensi pada sendi facet anda.


Rawatan Suntikan Radiofrequensi

Rawatan suntikan radiofrequensi dilakukan oleh doktor pakar rawatan sakit kronik (pain specialist). Procedur ini melibatkan suntikan pada saraf kecil pada sendi facet anda. Arus elektrik yang berfrekuensi tinggi (tapi selamat) akan disalurkan melalu jarum tersebut dan hasilnya saraf tersebut akan menjadi “lumpuh” dan tidak berfungsi. Suntikan ini berperanan untuk membantutkan signal sakit yang berpunca  dari sendi facet. Jadi pesakit akan merasa lega serta merta. Ianya dilakukankan didalam dewan bedah dibawah kawalan sinar X ray. Rawatan ini adalah selamat dan pesakit tidak akan merasa sakit ketika procedur suntikan ini dijalankan, kerana bius setempat pada kulit akan diberikan.
Kejayaan teknik ini boleh mencapai 80%. Banyak pesakit telah sembuh dari kesakitan mereka dan kini dapat kembali kepada aktiviti asal mereka. Mereka kini dapat duduk lama dan ini amat membantu bagi mereka yang kerja pejabat. Bagi pesakit sendi facet pada tulang tengkok, mereka akan rasa tengkok mereka flexible dan kekejangan otot leher juga berkurangan. Ini kerana suntikan radiofrekuensi bukan saja melegakan sakit pada sendi facet sahaja tapi juga sakit yang berpunca dari kekejangan otot yang berkaitan.

Kajian kes.

Seorang surirumah  berumur 40 tahun telah mengadu sakit pada otot bahu, belikat dan pening yang kronik hampit setahun lamanya. Pening yang dirasainya bermula dari belakang tengkok dan menjalar naik ubun kepala. Beliau juga memberi gejala kekejangan pada otot tengkok dan bahunya. Pergerakan leher dan bahu kanannya terbatas kerana ianya menambah kesakitan yang sedia ada. Tangan kanannya kadang-kadang dirasai seperti kebas-kebas dan kurang rasa. Beliau mengaku terlibat dalam kemalangan jalanraya semasa memandu kereta 2 tahun yang lalu.
Ini menyebabkan fungsi sehariannya  sebagai surirumah terjejas teruk. Beliau telah dirawat oleh seorang doktor pakar, MRI tulang tengkok telah dibuat dan didapati beliau mengalami penyakit artritis sendi facet. Setelah mencuba beberapa jenis ubat ,sakit nya tidak berkurangan. Beliau kemudiannya dirujuk pada  pain specialist. Setelah diperiksa, beliau di kenalpasti mengalami penyakit artritis tulang tengkok (cervical facet joint arthritis) dan juga sindrom myofasia (myofascial pain syndrome) yang melibatkan otot leher, belikat  dan bahunya.
Beliau telah dirawat dengan ubat penahan sakit (celebrex) dan suntikan radiofrekuensi pada sendi facet tengkoknya disusuli senaman regangan yang khusus untuk otot leher dan bahu yang terlibat. Semua gejala yang dihadapi termasuk pening, sakit tengkok dan bahu beransur hilang dalam masa dua minggu selepas rawatan.
Suntikan radiofrekuensi pada sendi facet dilakukan dengan kawalan sinar X ray.

Huraian kes diatas.


Penyakit facet arthritis sendi tengkok dalam kes ini nampaknya hampir sama dengan kes yang dihuraikan dalam artikel ini. Tiga gejala utama ialah pesakit mengalami sakit tulang tengkok, sakit otot pada belikat, bahu dan rasa pening. Tapi dalam kes ini penyebab pening itu lebih dari satu. Selain dari berpunca dari sendi facet, ia juga disebabkan oleh penyakit sindrom myofasia otot leher yang kerap juga memberi gejala pening kepala. Apa yang penting sini ialah semua gejala penyakit ini boleh diubati hanya dengan suntikan radio frekuensi.

Monday, July 8, 2013

Gejala Mata Dan Telinga Dalam Sindrom Facet Leher (Cervical)

Penyakit sendi facet pada leher (cervicel facet syndrome) telah banyak saya sebut. Biasanya pesakit akan memberi gejala sakit sendi tengkok, sakit  pada otot bahu, leher serta  belikat dan juga pening dari belakang naik ke ubun kepala.Tapi penyakit ini juga boleh memberi gejala yang lebih teruk dari itu; iaitu gejala kabur mata, berdengung telinga dan juga rasa hanyut dan mudah pitam. Kebanyakkan pesakit telah tersalah diagnos menyebabkan kegagalan dalam rawatan mereka.

Gejala sindrom myofascia otot leher dalam arthritis sendi  facet leher (cervical).
Biasanya penyakit arthritis sendi facet leher akan member gejala yang klasik seperti berikut;
1.    Sakit sendi facet tengkok, biasanya akan lebih sakit bila kepala di dongak kebelakang atas sambil leher dipusingkan kesisi.Sakit sendi facet akan dirasakan pada sisi yang sama.

2.   Sakit  pada otot bahu, leher serta  belikat.Ini merupakan gejala sampingan yang klasik disebabkan oleh keadaan otot yang kejang dan sakit berpanjangan.Ini dikenali sebagai sindrom myofscia(myofascial pain syndrome).Sakit akan lebih terasa jika otot ini dipicit dan sakit boleh menjalar turun kelengan atau jari.

3.  Pening dari belakang naik keubun kepala.Kadang-kadang merayap hingga kemata atau kedahi.
Sakit pada otot leher sternomastoid boleh mimic gejala klinikal telinga dan mata


Ada juga pesakit member gejala sendawa yang keterlaluan terutamanya bila otot pada leher dan belikat dipicit.Bila pesakit rasa pening berserta hanyut, kabur mata dan telinga  berdesing disamping sakit pada leher dan bahu,aktiviti harian mereka terjejas teruk.Pesakit akan risau dan cenderung mengalami kemurungan terutama bila rawatan dari beberapa orang pakar ternyata gagal merawat mereka.
Secara umumnya kesakitan pada otot leher dan bahu(sindrom myofacia) boleh mimik/menyerupai  beberapa gejala klinikal penyakit lain seperti migrin, cakera tergelincir, gejala ENT, mata dan perut. Gejala –gejala pelik ini boleh diaktifkan jika otot –otot tertentu pada leher atau bahu dipicit. Jika doktor merawat tidak arif tentang sindrom myofasca ini, rawatan akan tersasar kerana ianya boleh mengelirukan. Setiap otot memberikan gejala tersendiri yang eklusif. Manakala punca gejala mata dan telinga berdengung  ini adalah datangnya dari otot sternomostoid,pada leher.Otot ini agak panjang bermula insersinya dari tulang dada(sternum) naik keatas hingga ke belakang telinga pada tulang mastoid. Fungsi otot ini ialah untuk menoleh kepala kesisi. Bila berlaku kekejangan dan sakit pada otot ini, ia boleh memberi gejala rasa hanyut, kabur mata dan telinga  berdesing . Ini adalah merupakan gejala klasik jika otot ini mengalami keadaan sindrom myofsacia. Sindrom ini juga biasanya  berlaku susulan sakit sendi facet pada leher sebagai gejala tambahan. Malangnya tidak ramai doktor tahu akan hakikat gejala ini. Banyak doktor dengan mudah akan merujuk pada pakar mata dan telinga untuk rawatan. Akibatnya rawatan yang diberikan tidak membuahkan hasil.
Suntikan “trigger point” yang diberikan pada otot sternomastoid
  
Rawatan yang mujarab.

Oleh kerana punca gejala mata dan telinga berdengung  ini adalah datangnya dari sindrom myofascia otot sternomostoid,dan keadaan ini  merupakan susulan (secondary) dari sakit arthritis sendi facet pada leher, maka rawatan radiofrekuensi pada merupakan rawatan yang utama. Gejala klasik sendi facet leher sepert  sakit tengkok, pening, sakit pada otot bahu akan beransur hilang selepas rawatan ini. Manakala gejala mata dan telinga juga akan beransur hilang dalam beberapa hari. Malah kebanyakan pesakit merasa kelegaan besar pada keesokan harinya.



Disamping itu otot sternomastoid juga kan disuntik samada dengan ubat bius(trigger point)  ataupun kaedah suntikan radiofrekunsi. Biasanya pesakit akan kagum dan sukar percaya kerana masalah mata kabur dan telinga berdengung tiba-tiba saja hilang dalam beberapa saat selepas suntikan.”macam silap mata” kata mereka...

Monday, June 17, 2013

Sakit Kronik Tulang Belakang Diusia Muda

"Doktor kenapa saya mendapat penyakit cakera tergelincir ini (slipped disc) sedangkan  umur saya baru 26 tahun....?"
Keluh seorang pesakit saya dari Johor dengan nada sedih. Malah beliau telah disahkan  juga mengidap penyakit jantung koronari dimana koronari stanting telah  telah dilakukan pada beberapa saluran darah jantung beliau. Beliau tidak merokok dan tiada paras kolesterol yang tinggi dalam darah.
Sebenarnya beliau  bukanlah  seorang sahaja yang mengidap sakit tulang belakang pada usia muda. Malah ramai lagi pesakit saya juga bertanyakan soalan yang sama tidak kira apa punca kesakitan tulang belakang mereka samada artritis sendi facet atau pinggul, cakera tergelincir (slipped disc) ataupun sakit discogenik.Malah ianya menjadi satu trend sekarang ini dimana penyakit orang tua kini boleh dihidapi oleh orang muda.
Biasanya jawapan standard saya ialah; „Berlakunya proses penuaan(degenerative disease) pada tulang belakang anda yang kadangkala dikenali sebagai spinal spondylosis.“

Spinal spondylosis

Spinal spondylosis ialah satu diagnosis yang popular dikalangan doktor untuk penyakit tulang belakang. Diagnosis ini tidak membantu dalam rangka rawatan sakit belakang anda.Sebenarnya ianya hanyalah satu terma umum yang merujuk kepada proses penuaan yang berlaku pada tulang belakang. Apa yang  berlaku ialah proses kemerosotan struktur, intergriti dan fungsi pada beberapa  struktur tulang belakang samada melibatkan sendi (artritis) cakera (slipped disc, sakit discogenik) ataupun pada tulang dan ligamen.Contohnya bila cakera mengalami proses penuaan, kemerosotan yang berlaku dalam annulus fibrosis dan nucleus proposes didalamnya akan menjadikannya  lemah dan tidak mampu menyokong berat badan.Bila dinding cakera lemah maka rekahan boleh berlaku.Tekanan yang kuat yang berlarutan ini seterusnya akan menjurus kepada cakera tergelincir melalui dinding yang lemah.
Sakit belakang dikalangan orang tua selalunya disebabkan oleh proses penuaan juga.Fakta ini kita dapat terima dengan baik kerana sudah dijangka.Tapi kenapa pula proses penuaan pada tulang belakang kini berlaku pada orang muda? Kenapa kita boleh dapat penyakit tulang belakang yang serius diusia muda?

Apakah Penyebab utama penyakit tulang belakang dikalangan usia muda?

1.Proses penuaan sebelum waktunya.
Proses penuaan pada tubuh badan adalah disebabkan oleh proses oksidasi oleh radikal bebas.Radikal bebas ialah molekul organik yang tidak stabil yang berpunca dari beberapa proses metabolisma tubuh badan.Contohnya melalui metabolisma sel lemak bagi pesakit kencing manis.Sebab itulah orang kencing manis akan mengalami proses penuan lebih cepat. Ia juga boleh dihasilkan bila tubuh terdedah pencemaran air dan udara, radiasi (nuklear), asap rokok, racun rumput dan serangga.  Sebenarnya kita tidak tahu makanan yang kita makan, air yang kita minum, udara yang kita sedut mungkin mempunyai bahan kimia yang boleh menggalakkan pembentukan radikal bebas ini. Asap rokok bukanlah segala-galanya. Radikal bebas ini bukan saja dikaitkan dengan proses penuaan , malah juga dikaitkan dengan kecederaan organ, beberapa jenis penyakit (sakit jantung koronari) dan kanser.
Cara untuk memusnahkan radikal bebas ini ialah dengan mengambil banyak antioksidan. Antioksidan banyak terdapat  sayuran dan buahan yang segar, terutamanya kerana kaya dengan vitamin E ,C dan beta karotin. Molekul antioksidan bertindak dengan cara menghalang radikal bebas  dari mencederakan sel dan tisu badan.  Anti oksidan yang berpunca dari diet yang seimbang adalah lebih baik dari vitamin kerana ianya lebih mudah dihadam dan  diserap kedalam tubuh badan. Oleh itu, suplimen yang berasaskan sumber semulajadi seperti Iso 7 (Zulian Sdn Bhd) adalah merupakan satu contoh suplimen yang baik.
2. Kecederaan pada masa lalu.
Kecederaan pada masa lampau boleh mempercepatkan proses penuaan pada tubuh yang tercedera.Ini disebabkan tubuh yang tercedera itu sudah kurang stabil dan mengalami banyak tekanan. Gejala kesakitan akan ketara setelah beberapa tahun selepas kemalangan berlaku.Contohnya bagi pesakit yang mengidap arthritis sendi facet pada bahagian tengkok selalunya dikaitkan dengan kemalangan jalan raya beberapa tahun yang lalu.Manakala arthritis sendi lutut pada usia muda selalu dikaitkan dengan kecederaan lutut pada masa lampau.
3.Life style.(gaya hidup)
Postur semasa duduk, berdiri  dan berjalan yang tidak sihat, ergonomik tempat kerja yang tidak seimbang diantara penyebab sakit kronik di zaman moden ini. Sesetengah profesion atau sukan  memberikan penyakit yang agak spesifik kerana disebabkan oleh penggunaan sebahagian tubuh yang terhad tapi melampau. Semuanya ini akan menggalakkan proses “wear & tear” ataupun proses penuaaan. Disamping itu, sikap suka makan banyak dan  makanan yang kaya karbohidrat dan lemak menyebabkan kegemukan. Sikap malas  bersenam pula akan menambah lagi kepada masalah  kegemukan disamping fungsi paru-paru dan jantung yang kurang cergas. Diet yang tidak seimbang, terutamanya kurang serat akan menyebabkan sembelit disamping juga akan memusnahkan keseimbangan bakteria baik dan jahat pada usus besar. Akibatnya pengumpulan toksin berlaku yang seterusnya akan menggalakkan pembentukan radikal bebas yang bertanggungjawab kepada proses penuaan. Tambahan pula kesibukan berkerja kadang-kadang mendorong kita untuk menangguh untuk buang air besar, ini akan memburukkan lagi keadaan. Jika anda merokok atau mengambil minuman keras, keadaan akan menjadi lebih teruk lagi kerana ianya juga akan menggalakan pembentukan radikal bebas. Oleh itu jelas disini bahawa kebanyakan penyakit dizaman moden ini adalah disebabkan oleh life style atau gaya hidup yang  tidak sihat. Oleh itu sebahagian dari strategi rawatan ialah mengembalikan life style atau gaya hidup yang sihat.
4.Mempunyai penyakit/masalah perubatan  lain.
Penyakit seperti kencing manis, sakit buah pinggang, autoimmune (SLE atau rheumatoid arthritis) adalah contoh dimana pesakit akan mengalami proses penuaan yang cepat. Proses penuaan tidak semistinya berlaku di wajah tapi berlaku pada berbagai organ termasuklah pada tulang belakang. Gejala yang paling kerap dilihat ialah gejala srthritis.

Asas pada rawatan kesakitan kronik

Kita tidak boleh hentikan proses penuaan kerana ianya satu proses semula jadi walaupun ianya berlaku agak perlahan. Selagi kita hidup, kita akan menjadi semakin tua dari masa kesemasa.Tua menjadi kita lemah, sakit dan kurang produktif. Sudah tentu ini amat memberi masalah bagi pesakit diusia muda. Prinsip rawatan kesakitan kronik disini  ialah mengawal kesakitan untuk kembali berkerja. Apa yang lebih penting ialah; bila  tidak sakit,kita boleh bergerak cergas, produktif dan gembira walaupun mengalami artritis ataupun cakera tergelincir.Kita tidak perlu risau penyakit yang kita alami asalkan kita tidak rasa sakit dan terus produktif. Caranya ialah mengawal rasa sakit dan melambatkan proses penuaan tersebut dengan pelbagai kaedah moden (ubat dan suntikan) senaman, dan mengekalkan gaya hidup yang sihat.


Tuesday, June 11, 2013

PENING TIDAK SEMESTINYA MIGRAINE

Gejala pening adalah kerap berlaku dikalangan kita tidak kira berapa umur kita. Jika pening anda hanya sebentar dan pulih selepas pengambilan ubat, anda bernasib baik kerana ianya bukan kesakitan yang serius. Jika pening anda menjadi kronik dan sukar dikawal dengan ubat penahan sakit atau anti migrane, itu maknanya anda perlu mengambil perhatian serius kerana diagnosis doktor mungkin tersasar. Anda perlu berjumpa doktor yang lebih arif tentang sakit pening ini untuk penilaian semula. Anda perlu berjumpa dengan pain specialist.
Pening yang kronik. Jangan ambil mudah.

Mengikut silibus doktor, pening boleh disebabkan oleh beberapa penyakit seperti sinusitis,  migraine,cluster haeadache  dan tension headache .
Pening yang disebabkan oleh sinusitis biasanya dirasai pada belakang kening dan juga pada tulang pipi. Biasanya bahagian ini sakit bila dipicit disamping memberi gejala sinusitis lain seperti selsema, hidung yang tersumbat dan demam.
Pening yang disebabkan oleh migraine biasanya dirasai pada sebelah kepala disamping gejala perubahan dalam penglihatan. Biasanya sakit ini amat kuat dan mengambil beberapa hari untuk reda. Pesakit lebih suka menyendiri ketika pening berlaku.
Tension headache ialah pening yang selalunya berlaku bila adanya ketegangan emosi atau fikiran. Pening jenis ini biasanya dirasai berdenyut di dahi dan kekadang hingga ke ubun kepala.
Pening jenis Cluster pula biasanya dirasai pada bahagian mata , terutama di belakang dan dikeliling mata. Pening ini mengambil berhari-hari untuk reda dan selalunya datang secara berkala (dapat dijangka).
Saya tidak mahu mengolah jenis-jenis pening diatas, tapi saya akan perjelaskan jenis pening yang sering berlaku tapi jarang dapat dikesan oleh ramai doktor.Jika anda mengalami pening yang kronik dan masih lagi gagal mendapat rawatan yang sesuai, anda perlu baca artikel ini hingga penghujungnya.

Kes 1.
Seorang wanita berumur 48 tahun telah mengalami gejala pening hampir lima tahun. Beliau pernah berjumpa dengan seorang doktor pakar swasta dan telah di diagnos sebagai penyakit migraine. Ubat migraine pada mulanya agak berkesan tapi sejak 2 tahun lepas sakitnya menjadi bertambah kuat dan tidak ada ubat makan yang dapat mengawalnya walaupun sudah mencuba pelbagai jenis. Peningnya dirasai berdenyut-denyut berpunca dari belakang kepala hingga naik ke ubun kepala. Kosentrasinya terjejas dan beliau tidak dapat tidur malam dengan nyenyak. Kerjayanya sebagai peniaga kedai runcit ternyata terjejas teruk. 5 bulan yang lepas beliau terpaksa dimasukkan ke hospital swasta kerana tidak tahan menanggung sakit pening tersebut. Disebabkan beliau juga mengadu kekejangan otot leher maka doktor pakar orthopedik telah mengarahkan MRI tulang cervical (tengkok) di lakukan. Namun begitu MRI tidak  menunjukkan apa-apa penyakit tulang tengkok yang dapat menjelaskan kesakitan tersebut. Tiada pembedahan perlu dilakukan.
Disebabkan sakit yang amat sangat dan rentan pada rawatan suntikan, beliau telah dirujuk kepada pain specialist. Selepas pemeriksaan dijalankan beliau didapati mengalami penyakit artritis tulang facet ( facet joint arthritis) pada tengkoknya. Rawatannya  ialah beberapa suntikan khas dilakukan pada sendi tengkoknya oleh pain specialist tersebut. Suntikan ini dilakukan dalam bilik bedah dibawah kawalan sinar X.Sakit tengkok dan peningnya hilang dengan serta merta sejurus suntikan diberikan. Keesokan harinya beliau telah dibenarkan pulang . Sakit peningnya telah dapat dikawal sehinggalah kehari ini.

Suntikan pada sendi leher mampu mengawal pening yang berpunca dari artritis .

Huraian penyakit artritis tulang tengkok (cervical facet joint arthritis-kes 1)
Penyakit ini kerap berlaku dikalangan orang berumur disebabkan oleh proses penuaan (degenerative disease) atau pun juga boleh berlaku pada orang muda jika kecederaan tengkok pernah berlaku pada masa lampau contohnya kemalangan jalan raya. Gejala penyakit ini amat jelas iaitu pesakit akan mengalami 2-3 gejala lain; sakit tengkok, sakit bahu dan pening di belakang kepala. Rasa sakit ditengkok dan pening akan bertambah jika pesakit mendongak dan memusingkan kepala mereka kebelakang. Ketiga-tiga gejala ini ada terdapat pada pesakit ini semasa pemeriksaan dilakukan. Ianya terlalu senang pada kaca mata pain specialist tapi “susah” pada doktor lain yang bidang kepakaran yang berbeza. Sayugia diingatkan bahawa ini bukanlah satu-satunya pesakit ini yang telah berjaya dirawat, tapi saya telah berjaya merawat berpuluh – puluh lagi pesakit seperti ini yang semuanya memberi gejala yang hampir sama. Apa yang saya hendak tegaskan disini ialah kebanyakan pesakit ini telah mempunyai dignosis penyakit yang tersasar menyebabkan rawatan yang diterima sebelum ini tidak tepat. Lebih menarik lagi hampir kesemua kesakitan ini dapat dikawal dengan mudah melalui kaedah suntikan ini.

Kes 2.
Seorang jururawat hospital berumur 35 tahun telah mengadu sakit bahu dan pening yang kronik hampit setahun lamanya. Pening yang dirasainya tepat terletak diubun kepala dan beliau  telah mendefinasikan pening sebagai hanyut dan kadang kadang berdenyut . Beliau juga memberi gejala mudah gelap mata atau hampir pitam bila mengubah posisi badan. Gejala pening ini tidak disebabkan oleh ubat atau penyakit kencing manis atau darah tinggi.Tapi beliau mengaku terlibat dalam kemalangan jalanraya semasa memandu kereta 2 tahun yang lalu.
Beliau juga memberi gejala kekejangan pada otot tengkok dan bahunya. Pergerakan leher dan bahu kanannya terbatas kerana ianya menambah kesakitan yang sedia ada. Tangan kanannya kadang-kadang dirasai seperti kebas-kebas dan kurang rasa.
Ini menyebabkan fungsi sehariannya  sebagai surirumah dan jururawat terjejas teruk. Beliau telah dirawat oleh seorang doktor pakar, MRI tulang tengkok telah dibuat tapi tidak dapat mengenalpasti punca penyakit. Beliau kemudiannya dirujuk pada  pain specialist. Setelah diperiksa, beliau di kenalpasti mengalami penyakit artritis tulang tengkok (cervical facet joint arthritis) dan juga sindrom myofasia (myofascial pain syndrome) yang melibatkan otot leher dan bahunya. Dua otot leher yang terlibat dalam sindrom myofasia ini ialah otot trapezius dan sternomastoid.
Beliau telah dirawat dengan ubat penahan sakit (celebrex) dan suntikan pada sendi facet tengkoknya sama seperti kes diatas. Suntikan (trigger point injection) juga diberikan pada ke dua otot yang mengidap  sindrom myofasia tersebut disamping senaman regangan yang khusus untuk otot leher dan bahu yang terlibat.Semua gejala yang dihadapi termasuk pening, sakit tengkok dan bahu beransur hilang dalam masa dua minggu selepas rawatan.

Huraian penyakit artritis tulang tengkok dan syndrom myofasia (kes 2)

Penyakit facet arthritis sendi tengkok dalam kes ini nampaknya hampir sama dengan kes yang pertama. Tiga gejala utama ialah pesakit mengalami pening, sakit tengkok dan sakit bahu.Tapi dalam kes 2 ini penyebab pening itu lebih dari satu. Selain dari berpunca dari sendi facet, iajuga disebabkabkan oleh penyakit sindrom myofasia otot leher yang kerap juga memberi gejala pening kepala.
Telah diketahui bahawa sindrom myofasia adalah sejenis sakit otot kerangka yang berpunca dari kekejangan otot yang kronik. Sebahagian ciri penyakit sindrom myofasia ini ialah sakitnya dirasai menjalar ketempat lain (pain radiation) dan kekadang memberi gejala pening, rasa hanyut, loya, sendawa dan pandangan yang kabur (sila rujuk artikel saya Harian Metro Ahad, 8 November 2009).  Semua gejala pelik ini selalunya berkait dengan penyakit sindrom myofasia yang melibatkan otot pada leher. Dua otot leher yang kerap memberi gejala pening bila terlibat dalam sindrom myofasia ini ialah otot trapezius dan sternomastoid.
Otot trapezius yang terlibat dengan penyakit myofasia selalunya  memberi kesakitan ketara pada pangkal leher bila otot ini dipicit (trigger point). Sakit pada leher ini boleh dirasai menjakar naik ke ubun –ubun kepala dan memberi gejala pening.
Manakala otot sternomastoid pula amat terkenal dengan memberi gejala pelik sampingan seperti pening , hanyut, rasa mahu pitam, gelap mata dan sebagainya. Rawatan untuk pesakit kes 2 nampaknya berbagai kerana penyebab peningnya lebih dari satu. Kesilapan  diagnosis klinikal akan menyebabkan rawatan yang tidak berkesan. Pesakit akan  menjadi keloh kesah  kerana mereka akan cenderung untuk memikirkan kemungkinan penyakit yang lebih serius.Sedangkan penyakit artritis sendi facet dan sindrom myofasia  ini adalah kurang merbahaya (benign) tetapi cukup untuk memberikan kesakitan ketara yang kronik dan menjejaskan fungsi harian. Apa yang lebih penting ialah kesakitan dari artritis sendi facet dan sindrom myofasia  ini boleh sembuh jika pesakit menerima rawatan yang sepatutnya.




Tuesday, June 4, 2013

Sakit Sendi Pinggul; 
Boleh menjejaskan fungsi wanita.

Jika anda seorang wanita yang berumur 40 tahun keatas dan sering mengalami sakit pada punggung, anda perlu baca artikel ini kerana anda mungkin mengalami penyakit arthritis sendi pinggul. Sakit ini memang menyeksakan dan menjejaskan fungsi harian anda. Berita baik untuk anda ialah rawatan yang berkesan kini sudah ada di Malaysia.

Apa itu penyakit arthritis sendi pinggul?
Sendi pinggul (sacroiliac joint) merupakan sepasang sendi besar yang terletak pada kiri dan kanan punggung. Sendi ini menyambungkan tulang pinggul (pelvic) dengan tulang sacrum pada bahagian punggung. Fungsinya ialah meyokong dan menstabilkan tulang pelvic dan  tulang belakang ketika kita melakukan pergerakan.Ia juga berfungsi sebagai penyerap gegaran (shock absorber) pada tulang pelvic dan tulang belakang.
Sendi pinggul (sacroiliac joint) yang boleh mengalami arthritis.
Sakit pada sendi pinggul ini selalunya disebabkan oleh arthritis yang biasanya di sabitkan dengan proses penuaan (degenerative disease) .Penuaan ini pula di sabitkan oleh permukaan sendi yang haus dan proses keradangan(inflammation) yang di sebabkan oleh penggunaan yang melampau (wear and tear). Sebab lain boleh berlaku ialah seperti kecederaan, kanser, juga penyakit arthritis lain seperti Ankylosisng Spondylosis atau Rheumatoid arthritis. Struktur  belakang yang tidak seimbang dan panjang kaki yang tidak seimbang juga telah diketahui sebagai penyebab kesakitan pada sendi pinggul ini.
Insiden sakit sendi pinggul ini ialah 22.5% dikalangan pengidap sakit pinggang yang kronik. Kebanyakan pesakit adalah wanita.yang berumur 40 tahun keatas. Ini adalah kerana faktor hormon dan juga fungsi dan aktiviti harian mereka yang menyebabkan penggunaan sendi yang lasak. Aktiviti tersebut menyebabkan regangan dan penggunaan ligament yang terlampau dikeliling tulang pelvic menyebabkan banyak ligament tercedera dan  lemah. Keadaan ini menyebabkan pergerakan yang abnormal pada sendi ini dan seterusnya keradangan atau arthritis.

Gejala klinikal arthritis sendi pinggul.
Pesakit akan mengalami sakit pada belakang pinggang terutamanya pada kiri atau kanan pinggul yang kadang-kadang menjalar turun kepunggung dan belakang peha. Pergerakan seperti bangun dari katil, kerusi atau tunduk kebawah akan mencetuskan rasa sakit ini. Pesakit mungkin tidak dapat duduk atau berdiri lama kerana tidak tahan rasa sakit pada kiri atau kanan punggung. Dalam  keadaan yang serius pesakit akan rasa sakit bila tidur terlentang dan tidak mampu melakukan hubungan seksual kerana ia memberi tekanan langsung pada sendi ini.
Biasanya pesakit akan dirawat oleh pakar tulang dengan ubat penahan sakit seperti celebrex atau paracetamol. Sebahagian akan dirujuk pada physiotherapy untuk rawatan haba dan senaman yang tertentu. Tapi strategi diatas hanya berkesan untuk sakit yang ringan. Jika rawatan diatas gagal anda perlu dirujuk kepada pakar kesakitan kronik, kerana ada rawatan yang terkini yang berkesan ada untuk merawat penyakit ini.

Rawatan untuk arthritis sendi pinggul.
Diagnosis arthritis sendi pinggul ini boleh dilakukan dengan teknik pemeriksaan klinikal sahaja. X Ray, MRI, Bone Scan tidak banyak membantu dan membazir. Anda perlu tahu bahawa banyak penyakit lain yang boleh menyerupai sakit sendi pinggul ini.Oleh itu anda perlu berjumpa doktor yang terbaik dalam merawat penyakit anda.Dapatkan pendapat kedua jika rawatan pembedahan telah disarankan pada anda.
Rawatan mujarab yang di berikan oleh pakar kesakitan kronik ialah teknik radiofrekuensi dan juga suntikan ubat steroid pada sendi pinggul. Seperti rawatan radiofrequensi yang telah saya tulis dalam artikel yang lepas, teknik ini melibatkan suntikan pada beberapa saraf kecil yang mensarafi sendi ini. Arus elektrik yang berfrekuensi tinggi disalurkan pada jarum khas tersebut yang bertujuan untuk “melumpuhkan” saraf ini. Kesannya ialah isyarat rasa sakit akan terbantut dan pesakit akan rasa tidak sakit serta merta. Kejayaan kami merawat pesakit dengan kaedah ini mencapai 90%. Jadi, kenapa anda perlu hidup dalam kesakitan jika ada rawatan berkesan yang dapat mengembali kehidupan anda?

Teknik suntikan radiofrekuensi untuk pesakit arthritis sendi pinggul.

Monday, May 27, 2013


Sakit Belakang Cakera Tergelincir 
Apa yang anda perlu tahu?

Sepanjang pengalaman saya dalam profesion kesakitan kronik, penyakit cakera tergelincir atau slipped disc merupakan penyakit paling diketahui umum. Tapi tidak ramai di kalangan pesakit ini tahu tentang fakta sebenar rawatan bahawa majoriti (80-90%) kes ini tidak memerlukan pembedahan. Kebanyakan mereka boleh sembuh dengan rawatan konservatif (tanpa pembedahan).Untuk anda yang mengalami kesakitan tulang belakang yang berpunca dari cakera tergelincir, artikel ini akan membantu anda untuk memahami dengan lebih jelas lagi tentang rawatan sebenar.

Apa itu penyakit cakera tergelincir tulang belakang?

Cakera tulang belakang ialah sejenis tissue kenyal  leper yang melapik di antara dua segmen tulang belakang. Terdapat berpuluh cekera sepanjang tulang belakang kita bermula dari leher hinggalah kepinggang. Fungsinya ialah untuk menyerap gegaran dan (shock absorber) dan mengagihkan tekanan yang sekata pada tulang belakang.Penyakit cakera tergelincir atau slipped disc ialah disebabakan oleh berlakunya benjolan/gelinciran (herniation) cakera ini yang selalunya disusuli dengan himpitan pada akar saraf (nerve root) yang berdekatan disitu. Selain dari itu kemungkinan juga berlaku rembesan cecair kimia dari cekera yang amat toksik pada akar saraf. Oleh itu pesakit biasanya akan memberi gejala sakit belakang yang menjalar turun kekaki (sciatica)jika ianya berlaku dibahagian pinggang. Manakala rasa sakit pada tengkok yang menjalar turun ke tangan akan berlaku pada pesakit yang menghidapainya pada bahagian leher. Kesakitan yang turun kekaki atau tangan itu ialah sejenis sakit saraf yang ditafrifkan sebagai elektrik shock, mencucuk, kebas  atau panas yang disebabkan oleh himpitan akar saraf tadi. Rasa sakit biasanya akan bertambah kuat jika pesakit bersin atau batuk.


Kenapa benjolan atau kegelinciran ini berlaku? Keadaan ini disebabkan oleh rekahan atau kelemahan cakera itu sendiri. Kenapa boleh berlaku kelemahan atau rekahan pada cakera ini? Kajian telah menunjukkan berlakunya proses penuan yang cepat yang selalunya disabitkan dengan penggunaan yang lasak atau melampau (wear and tear). Sebab itulah penyakit cakera tergelincir ini kerap berlaku di bahagian pinggang dan tengkok. Sebab bahagian inilah tulang belakang kita banyak melakukan pergerakan.Terdapat faktor resiko yang telah diketahui boleh menjuruskan kepada penyakit ini. Orang yang berkerja banyak melakukan angkat objek berat, membongkok, batuk kronik,obesiti telah dikaitkan dengan berlakunya penyakit ini.Ini disebabkan aktiviti ini memberikan tekanan yang kuat pada tulang belakang. Sebab itulah penyakit ini juga boleh berlaku pada orang muda.
Mekanisma sakit saraf yang berpunca dari cakera tergelincir.

Diagnosis dan Kecelaruan diagnosis.

Biasanya sakit ini datang dengan tiba-tiba dan berlanjutan menjadi kronik sehingga berbulan atau bertahun jika anda tidak menerima rawatan sepatutnya.Diagnosis penyakit ini boleh dibuat oleh doktor orthopedic atau pakar rawatan sakit kronik. Pemeriksaan klinikal dan siasatan termasuk X Ray dan MRI perlu untuk sokongan. Bukti pada MRI yang selaras dengan gejala klinikal diambil kira dalam membuat diagnosis. Ini adalah kerana kajian telah membuktikan 30% daripada orang ramai yang mengalami cakera tergelincir (berdasarkan MRI) langsung tidak mengalami apa-apa gejala klinikal. Jadi, jika MRI anda menunjukkan bukti cakera tergelincir tapi kesakitan anda tidak seperti yang sepatutnya (sakit belakang yang menjalar turun ke kaki) maka pembedahan tidak patut dilakukan.  Doktor sepatutnya merawat pesakit bukannya merawat MRI.
Lebih mengelirukan lagi banyak keadaan klinikal lain boleh meyerupai gejala cakera tergelincir ini.Penyakit sendi lumbar facet, pririformis syndrome, sakit akar saraf kimia (chemical radikulopaty) sakit otot myofascial pada belakang dan punggung juga mampu menghasilkan sakit yang menjalar turun kekaki dengan kualiti yang agak berbeza. Doktor yang bijak akan dapat membezakan penyakit-penyakit ini dengan penyakit cakera tergelincir.

Rawatan

Bergantung kepada keterukan sakit anda, rawatannya juga akan berbeza. Anda perlu tahu bahawa kebanyakan pesakit (80-90%) akan beransur sembuh dalam setahun hanya dengan rawatan konservatif (tanpa pembedahan). Hanya 10% pesakit yang mengalami cakera tergelincir memerlukan pembedahan sebagai rawatan muktamat akhirnya.Di negara maju seperti Singapura, semua kes cakera tergelincir akan di rujuk kepada pakar kesakitan kronik dahulu untuk rawatan konservatif sebelum pakar bedah orthopedic memutuskan untuk pembedahan.Tetapi senario ini tidak berlaku di Malaysia. Banyak pesakit  dilakukan pembedahan dengan  justifikasi yang agak longgar. Pastikan anda mendapat rawatan konservatif yang betul sebelum akhirnya setuju untuk melakukan pembedahan. Pakar kesakitan kronik boleh membantu anda.


Apakah rawatan konservatif untuk cakera tergelincir?

  1. Suntikan epidural steroid. Teknik ini samalah dengan kaedah epidural untuk mengurangkan sakit bersalin. Cumanya selain dari ubat bius, doktor juga akan memasukkan sedikit steroid untuk mengurangkan bengkak dan keradangan pada akar saraf yang terhimpit oleh cakera tergelincir.Teknik ini paling tepat jika dilakukan oleh pakar sakit kronik.Sakit saraf yang menjalar turun kekaki akan lega serta merta. Lebih awal suntikan dibuat maka akan lebih baik kesan penyembuhannya. Keberkesanan suntikan epidural ini lebih ketara jika suntikan dibuat dalam satu bulan pertama.

Suntikan epidural steroid dapat melegakan kesakitan saraf yang berpunca dari cakera tergelincir.

  1. Sentiasa aktif dan bergerak sekadarnya. Ini akan menggalakkan pengaliran darah dan oksigen pada cekera yang cedera itu. Rehat dikatil sambil melakukan traction tidak lagi diguna pakai sekarang ini.Elakkan pergerakan yang boleh mencetuskan rasa sakit tersebut seperti membongkok atau terlalu cepat menukar posisi.
  2. Ubat penahan sakit seperti paracetamol, celebrex dapat membantu. Selain dari itu anda juga akan diberi ubat saraf seperti gabapentin. Ubat untuk melembutkan otot belakang juga kan diberi seperti baclofen kerana keadaan ini biasanya disusuli dengan kekejangan otot belakang.
  3. Senaman yang khusus yang bertujuan untuk menguatkan otot perut dan belakang. Dua otot ini perlu dikuatkan kerana mereka berperanan sebagai penyokong semula jadi tulang belakang (corset).
  4. Mengelakkan pergerakan dan posisi tertentu yang boleh mencetus semula kejadian cakera tergelincir. Mekanik badan (body mechanic) yang betul akan diajar dalam melakukan fungsi harian samada di tempat kerja atau dirumah.
  5. Kurangkan berat badan.
 Apakah indikasi untuk pembedahan tulang belakang?

Akhirnya anda perlu tahu  bila sepatutnya/indikasi pembedahan tulang belakang patut dibuat untuk penyakit cakera tergelincir ini. Indikasi ini diguna pakai sebagai standard dimana-mana saja samada di Malaysia atau diluar negara. 
  1. Bila rawatan konservatif yang dilakukan gagal mengawal sakit anda.Ia menjelaskan bahawa himpitan pada akar saraf yang agak teruk.Biasanya keputusan ini dibuat setelah enam bulan menjalani rawatan konservatif ini gagal memberikan sekurang-kurangnya 50% kelegaan kepada rasa sakit.
  2. Bila berlakunya perubahan yang tiba-tiba kepada fungsi saraf  dikaki anda. Contohnya  kaki anda menjadi lemah dan tidak boleh berjalan secara tiba-tiba selain dari rasa sakit atau kebas yang sedia ada.
  3. Terdapat ganguan saraf pada sistem kencing dan usus. Anda rasa susah kencing atau buang air besar secara tiba-tiba. Ataupun anda rasa sukar untuk mengawal kencing dan berak menyebabkan kebocoran berlaku (caudal equinal syndrome).
Tiga sebab ini merupakan indikasi sebenar untuk dilakukan pembedahan. Indikasi ke 2 & 3 merupakan kedaan kecemasan yang memerlukan pembedahan dengan segera. Saya sendiri akan merujuk pesakit saya kepada doktor bedah orthopedik jika tanda-tanda ini berlaku. Anda boleh berbincang dengan doktor yang merawat dengan menggunakan panduan ini. Ini dapat mengelakkan pembedahan tulang belakang dilakukan yang tidak perlu.Tambahan pula kajian menunjukkan bahawa 10-40 % daripada pembedahan tulang belakang akan memberikan kesakitan sampingan lain kemudian hari.