Sakit Cakera Diskogenic
(Sakit belakang yang sering berlaku tapi jarang diketahui umum)
Sakit cakera discogenik merupakan salah satu penyebab utama sakit belakang yang kronik. Mungkin tidak ramai yang tahu akan istilah ini tapi anda perlu tahu bahawa sakit ini merupakan salah satu penyebab utama sakit tulang belakang yang jarang di beritahu.
Sakit cakera discogenic adalah berpunca dari dalam cakera itu sendiri. Cakera mungkin nampak normal tanpa tanda tergelincir dari siasatan MRI, tetapi kesakitan masih boleh berlaku didalamnya.
Kajian dilakukan mendapati bahawa insiden penyakit ini dikalangan pesakit tulang belakang yang kronik ialah 35 peratus. Walaupun penyakit ini peratusnya tinggi berbanding dengan penyakit tulang belakang yang lain, diagnosisnya jarang ditemui dalam rawatan doktor kerana beberapa sebab. Antaranya ialah kerana pesakit selalunya datang dengan beberapa masalah penyakit tulang belakang pada masa yang sama. Oleh itu rawatan yang diberikan kepada pesakit akan difokuskan pada penyakit lain yang jelas diagnosisnya terlebih dahulu. Tambahan pula gejala sakit cakera diskogenik ini juga mirip kesakitan yang berpunca dari cakera tergelincir. Dengan kata lain rawatan diberikan mungkin akan tersasar jika penyakit ini tidak dikenal pasti. Kebiasaannya diagnosis penyakit cakera diskogenik ini dilakuakan secara“exclusion“ setelah penyakit tulang belakang yang lain telah di sahkan negatif.
Apakah gejala klinikal sakit cakera diskogenic?
Pesakit akan mengalami sakit tulang belakang yang kronik, biasanya dibahagian tengah pinggang.Sakit belakang secara khususnya bersifat mekanikal; iaitu rasa sakit akan teruja jika pesakit berdiri dan akan jelas berkurangan jika berbaring. Sakit pada pinggang juga akan dirasai menjalar turun ke punggung atau ke peha. Tapi pastinya tidak akan berlaku sakit renjatan elektrik atau mencucuk (sakit saraf) yang menjalar turun kekaki seperti yang biasa dihadapi oleh pesakit cakera tergelincir.Batuk dan bersin juga boleh mencetuskan kesakitan ini jika pesakit berdiri.Pemeriksaan klinikal oleh doktor biasanya tidak menemui tanda yang spesifik selain dari kesakitan pada tengah tulang belakang bila dipicit.
Bagaimana diagnosis sakit cakera diskogenic dibuat?
Biasanya gejala klinikal yang bersifat mekanikal sudah cukup untuk mensyaki bahawa pesakit ini mengalami sakit cakera diskogenik. Kepastian untuk penyakit ini hanya dapat dibuat dengan melakukan procedur suntikan kedalam cakera itu sendiri.Suntikan ini dinamakan “provocative discogram”. Suntikan ini dilakukan didalam bilik bedah dibawah panduan X Ray. Setelah kulit diberikan ubat bius setempat, jarum panjang akan disuntik kedalam beberapa cakera pada tulang belakang. Sedikit cecair “contrast “ atau ubat bius akan disuntik kedalan cakera tadi secara mendadak dan terkawal. Jika pesakit “terkejut” dan merasa sakit semasa suntikan, ini mengesahkan bahawa pesakit itu megalami sakit cakera discogenik. Sebaliknya jika ubat bius disuntik kedalam cakera tadi maka sakit dari cakera itu akan beransur hilang. Suntikan akan dibuat pada beberapa lapisan yang bertujuan untuk membezakan cakera yang sakit dan yang sihat.
Cabaran rawatan sakit cakera diskogenik.
Biasanya diagnosis sakit cakera diskogenik akan mengambil masa.Ini adalah kerana kebanyakan pesakit tulang belakang yang kronik akan datang dengan beberapa masalah lain dalam satu pakej. Contohnya pesakit mungkin akan mengalami sakit sendi lumbar facet atau sindrom piriformis pada masa yang sama yang diagnosis klinikalnya jelas dan mudah dibuat. Jadi rawatan pada peringkat awalnya akan menjurus pada kedua-dua gejala klinikal ini sehingga selesai. Oleh itu secara tidak langsung diagnosis sakit cakera discogenik kan dipertimbangkan kemudian jika kesakitan tulang belakang masih tidak berkurangan.
Walaubagaimana pun ada juga pesakit yang datang dengan jelas gejala klinikal yang bersifat mekanikal tanpa gejala penyakit tulang belakang yang lain.Bagi pesakit ini procedur suntikan provokatif discogram akan terus dilakukan untuk mengesahkannya.
Rawatan muktamat yang biasa dilakukan untuk sakit cakera discogenik ini ialah pembedahan yang mencantumkan (spinal fusion) ruas tulang belakang tersebut. Kaedah ini dilakukan oleh doktor pakar orthopedik.Biasanya cakera yang sakit akan dibuang dan ruas tulang belakang akan dicantumkan dengan menggunakna beberapa screw. Cantuman akan menghentikan pergerakan pada paras itu dan dengan itu tiada lagi rasa sakit. Kesan susulannya ialah belakang pesakit akan tegak dan tidak dapat membongkok pada paras cakera tersebut. Kaedah lain ialah dengan memasukkan cakera tiruan sebagai pengganti. Kaedah ini mampu melegakan rasa sakit disamping mengekalkan pergerakan tulang belakang.
Apakah rawatan tanpa pembedahan sakit cakera diskogenik?
Jawapanya tetap ada. Kini rawatan untuk gejala sakit cakera discogenik ini dapat dilakukan dengan hanya suntikan sahaja.Teknik ini dinamakan rawatan intradiskal radiofrekuensi. Teknik ini menjadi popular sejak akhir ini dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dikalangan pesakit. Kaedah ini dilakukan dengan menyuntik sepasang jarum kedalam cakera yang sakit pada kiri dan kanan dengan bantuan X Ray. Arus elektrik radiofrekensi pula akan disalur kedua-dua jarum tersebut yang bertujuan untuk meningkat suhu panas ditengah cakera tersebut. Suhu panas ini bertujuan untuk melumpuhkan saraf di dalam cakera tersebut. Apabila saraf ini rosak, maka isyarat rasa sakit dari cakera ini akan dapat dihentikan. Manakala struktur cakera dan fungsinya dapat dikekalkan. Kaedah ini mempunyai komplikasi yang minimal dan keberkesanan nya mencapai 60-80 peratus. Biasanya procedur ini hanya memerlukan satu atau dua hari sahaja.
Kadar Sewa Homestay (per night)
8 years ago
No comments:
Post a Comment