Sakit Belakang Cakera
Tergelincir
Apa yang anda perlu tahu?
Sepanjang pengalaman saya dalam
profesion kesakitan kronik, penyakit cakera tergelincir atau slipped disc merupakan penyakit paling
diketahui umum. Tapi tidak ramai di kalangan pesakit ini tahu tentang fakta
sebenar rawatan bahawa majoriti (80-90%) kes ini tidak memerlukan pembedahan.
Kebanyakan mereka boleh sembuh dengan rawatan konservatif (tanpa
pembedahan).Untuk anda yang mengalami kesakitan tulang belakang yang berpunca
dari cakera tergelincir, artikel ini akan membantu anda untuk memahami dengan
lebih jelas lagi tentang rawatan sebenar.
Apa itu penyakit cakera tergelincir tulang belakang?
Cakera tulang belakang ialah sejenis tissue kenyal leper yang melapik di antara dua segmen
tulang belakang. Terdapat berpuluh cekera sepanjang tulang belakang kita
bermula dari leher hinggalah kepinggang. Fungsinya ialah untuk menyerap gegaran
dan (shock absorber) dan mengagihkan tekanan yang sekata pada tulang
belakang.Penyakit cakera tergelincir atau slipped
disc ialah disebabakan oleh berlakunya benjolan/gelinciran (herniation)
cakera ini yang selalunya disusuli dengan himpitan pada akar saraf (nerve root)
yang berdekatan disitu. Selain dari itu kemungkinan juga berlaku rembesan
cecair kimia dari cekera yang amat toksik pada akar saraf. Oleh itu pesakit biasanya
akan memberi gejala sakit belakang yang menjalar turun kekaki (sciatica)jika ianya berlaku dibahagian
pinggang. Manakala rasa sakit pada tengkok yang menjalar turun ke tangan akan berlaku
pada pesakit yang menghidapainya pada bahagian leher. Kesakitan yang turun
kekaki atau tangan itu ialah sejenis sakit saraf yang ditafrifkan sebagai
elektrik shock, mencucuk, kebas atau
panas yang disebabkan oleh himpitan akar saraf tadi. Rasa sakit biasanya akan
bertambah kuat jika pesakit bersin atau batuk.
Kenapa benjolan atau kegelinciran ini berlaku? Keadaan ini disebabkan oleh rekahan atau kelemahan cakera itu
sendiri. Kenapa boleh berlaku kelemahan atau rekahan pada cakera ini? Kajian
telah menunjukkan berlakunya proses penuan yang cepat yang selalunya disabitkan
dengan penggunaan yang lasak atau melampau (wear and tear). Sebab itulah penyakit cakera tergelincir
ini kerap berlaku di bahagian pinggang dan tengkok. Sebab bahagian inilah
tulang belakang kita banyak melakukan pergerakan.Terdapat faktor resiko yang
telah diketahui boleh menjuruskan kepada penyakit ini. Orang yang berkerja
banyak melakukan angkat objek berat, membongkok, batuk kronik,obesiti telah
dikaitkan dengan berlakunya penyakit ini.Ini disebabkan aktiviti ini memberikan
tekanan yang kuat pada tulang belakang. Sebab itulah penyakit ini juga boleh berlaku
pada orang muda.
Mekanisma sakit saraf
yang berpunca dari cakera tergelincir.
Diagnosis dan Kecelaruan
diagnosis.
Biasanya sakit ini datang dengan
tiba-tiba dan berlanjutan menjadi kronik sehingga berbulan atau bertahun jika anda
tidak menerima rawatan sepatutnya.Diagnosis penyakit ini boleh dibuat oleh
doktor orthopedic atau pakar rawatan sakit kronik. Pemeriksaan klinikal dan
siasatan termasuk X Ray dan MRI perlu untuk sokongan. Bukti pada MRI yang
selaras dengan gejala klinikal diambil kira dalam membuat diagnosis. Ini adalah
kerana kajian telah membuktikan 30% daripada orang ramai yang mengalami cakera
tergelincir (berdasarkan MRI) langsung tidak mengalami apa-apa gejala klinikal.
Jadi, jika MRI anda menunjukkan bukti cakera tergelincir tapi kesakitan anda
tidak seperti yang sepatutnya (sakit belakang yang menjalar turun ke kaki) maka
pembedahan tidak patut dilakukan. Doktor
sepatutnya merawat pesakit bukannya merawat MRI.
Lebih mengelirukan lagi banyak
keadaan klinikal lain boleh meyerupai gejala cakera tergelincir ini.Penyakit
sendi lumbar facet, pririformis syndrome, sakit akar saraf kimia (chemical radikulopaty) sakit otot myofascial
pada belakang dan punggung juga mampu menghasilkan sakit yang menjalar turun
kekaki dengan kualiti yang agak berbeza. Doktor yang bijak akan dapat
membezakan penyakit-penyakit ini dengan penyakit cakera tergelincir.
Rawatan
Bergantung kepada keterukan sakit
anda, rawatannya juga akan berbeza. Anda perlu tahu bahawa kebanyakan pesakit
(80-90%) akan beransur sembuh dalam setahun hanya dengan rawatan konservatif
(tanpa pembedahan). Hanya 10% pesakit yang mengalami cakera tergelincir memerlukan
pembedahan sebagai rawatan muktamat akhirnya.Di negara maju seperti Singapura,
semua kes cakera tergelincir akan di rujuk kepada pakar kesakitan kronik dahulu
untuk rawatan konservatif sebelum pakar bedah orthopedic memutuskan untuk
pembedahan.Tetapi senario ini tidak berlaku di Malaysia. Banyak pesakit dilakukan pembedahan dengan justifikasi yang agak longgar. Pastikan anda
mendapat rawatan konservatif yang betul sebelum akhirnya setuju untuk melakukan
pembedahan. Pakar kesakitan kronik boleh membantu anda.
Apakah rawatan
konservatif untuk cakera tergelincir?
- Suntikan
epidural steroid. Teknik ini samalah dengan kaedah epidural untuk
mengurangkan sakit bersalin. Cumanya selain dari ubat bius, doktor juga
akan memasukkan sedikit steroid untuk mengurangkan bengkak dan keradangan
pada akar saraf yang terhimpit oleh cakera tergelincir.Teknik ini paling
tepat jika dilakukan oleh pakar sakit kronik.Sakit saraf yang menjalar
turun kekaki akan lega serta merta. Lebih awal suntikan dibuat maka akan
lebih baik kesan penyembuhannya. Keberkesanan suntikan epidural ini lebih
ketara jika suntikan dibuat dalam satu bulan pertama.
Suntikan epidural
steroid dapat melegakan kesakitan saraf yang berpunca dari cakera tergelincir.
- Sentiasa aktif dan bergerak sekadarnya. Ini akan menggalakkan pengaliran darah dan oksigen pada cekera yang cedera itu. Rehat dikatil sambil melakukan traction tidak lagi diguna pakai sekarang ini.Elakkan pergerakan yang boleh mencetuskan rasa sakit tersebut seperti membongkok atau terlalu cepat menukar posisi.
- Ubat penahan sakit seperti paracetamol, celebrex dapat membantu. Selain dari itu anda juga akan diberi ubat saraf seperti gabapentin. Ubat untuk melembutkan otot belakang juga kan diberi seperti baclofen kerana keadaan ini biasanya disusuli dengan kekejangan otot belakang.
- Senaman yang khusus yang bertujuan untuk menguatkan otot perut dan belakang. Dua otot ini perlu dikuatkan kerana mereka berperanan sebagai penyokong semula jadi tulang belakang (corset).
- Mengelakkan pergerakan dan posisi tertentu yang boleh mencetus semula kejadian cakera tergelincir. Mekanik badan (body mechanic) yang betul akan diajar dalam melakukan fungsi harian samada di tempat kerja atau dirumah.
- Kurangkan berat badan.
Apakah indikasi untuk
pembedahan tulang belakang?
Akhirnya anda perlu tahu bila sepatutnya/indikasi pembedahan tulang
belakang patut dibuat untuk penyakit cakera tergelincir ini. Indikasi ini diguna pakai sebagai
standard dimana-mana saja samada di Malaysia atau diluar negara.
- Bila rawatan konservatif yang dilakukan gagal mengawal sakit anda.Ia menjelaskan bahawa himpitan pada akar saraf yang agak teruk.Biasanya keputusan ini dibuat setelah enam bulan menjalani rawatan konservatif ini gagal memberikan sekurang-kurangnya 50% kelegaan kepada rasa sakit.
- Bila berlakunya perubahan yang tiba-tiba kepada fungsi saraf dikaki anda. Contohnya kaki anda menjadi lemah dan tidak boleh berjalan secara tiba-tiba selain dari rasa sakit atau kebas yang sedia ada.
- Terdapat ganguan saraf pada sistem kencing dan usus. Anda rasa susah kencing atau buang air besar secara tiba-tiba. Ataupun anda rasa sukar untuk mengawal kencing dan berak menyebabkan kebocoran berlaku (caudal equinal syndrome).
Tiga sebab ini merupakan indikasi
sebenar untuk dilakukan pembedahan. Indikasi ke 2 & 3 merupakan kedaan
kecemasan yang memerlukan pembedahan dengan segera. Saya sendiri akan merujuk
pesakit saya kepada doktor bedah orthopedik jika tanda-tanda ini berlaku. Anda boleh berbincang dengan doktor yang
merawat dengan menggunakan panduan ini. Ini dapat mengelakkan pembedahan tulang
belakang dilakukan yang tidak perlu.Tambahan pula kajian menunjukkan bahawa
10-40 % daripada pembedahan tulang belakang akan memberikan kesakitan sampingan
lain kemudian hari.