Monday, June 17, 2013

Sakit Kronik Tulang Belakang Diusia Muda

"Doktor kenapa saya mendapat penyakit cakera tergelincir ini (slipped disc) sedangkan  umur saya baru 26 tahun....?"
Keluh seorang pesakit saya dari Johor dengan nada sedih. Malah beliau telah disahkan  juga mengidap penyakit jantung koronari dimana koronari stanting telah  telah dilakukan pada beberapa saluran darah jantung beliau. Beliau tidak merokok dan tiada paras kolesterol yang tinggi dalam darah.
Sebenarnya beliau  bukanlah  seorang sahaja yang mengidap sakit tulang belakang pada usia muda. Malah ramai lagi pesakit saya juga bertanyakan soalan yang sama tidak kira apa punca kesakitan tulang belakang mereka samada artritis sendi facet atau pinggul, cakera tergelincir (slipped disc) ataupun sakit discogenik.Malah ianya menjadi satu trend sekarang ini dimana penyakit orang tua kini boleh dihidapi oleh orang muda.
Biasanya jawapan standard saya ialah; „Berlakunya proses penuaan(degenerative disease) pada tulang belakang anda yang kadangkala dikenali sebagai spinal spondylosis.“

Spinal spondylosis

Spinal spondylosis ialah satu diagnosis yang popular dikalangan doktor untuk penyakit tulang belakang. Diagnosis ini tidak membantu dalam rangka rawatan sakit belakang anda.Sebenarnya ianya hanyalah satu terma umum yang merujuk kepada proses penuaan yang berlaku pada tulang belakang. Apa yang  berlaku ialah proses kemerosotan struktur, intergriti dan fungsi pada beberapa  struktur tulang belakang samada melibatkan sendi (artritis) cakera (slipped disc, sakit discogenik) ataupun pada tulang dan ligamen.Contohnya bila cakera mengalami proses penuaan, kemerosotan yang berlaku dalam annulus fibrosis dan nucleus proposes didalamnya akan menjadikannya  lemah dan tidak mampu menyokong berat badan.Bila dinding cakera lemah maka rekahan boleh berlaku.Tekanan yang kuat yang berlarutan ini seterusnya akan menjurus kepada cakera tergelincir melalui dinding yang lemah.
Sakit belakang dikalangan orang tua selalunya disebabkan oleh proses penuaan juga.Fakta ini kita dapat terima dengan baik kerana sudah dijangka.Tapi kenapa pula proses penuaan pada tulang belakang kini berlaku pada orang muda? Kenapa kita boleh dapat penyakit tulang belakang yang serius diusia muda?

Apakah Penyebab utama penyakit tulang belakang dikalangan usia muda?

1.Proses penuaan sebelum waktunya.
Proses penuaan pada tubuh badan adalah disebabkan oleh proses oksidasi oleh radikal bebas.Radikal bebas ialah molekul organik yang tidak stabil yang berpunca dari beberapa proses metabolisma tubuh badan.Contohnya melalui metabolisma sel lemak bagi pesakit kencing manis.Sebab itulah orang kencing manis akan mengalami proses penuan lebih cepat. Ia juga boleh dihasilkan bila tubuh terdedah pencemaran air dan udara, radiasi (nuklear), asap rokok, racun rumput dan serangga.  Sebenarnya kita tidak tahu makanan yang kita makan, air yang kita minum, udara yang kita sedut mungkin mempunyai bahan kimia yang boleh menggalakkan pembentukan radikal bebas ini. Asap rokok bukanlah segala-galanya. Radikal bebas ini bukan saja dikaitkan dengan proses penuaan , malah juga dikaitkan dengan kecederaan organ, beberapa jenis penyakit (sakit jantung koronari) dan kanser.
Cara untuk memusnahkan radikal bebas ini ialah dengan mengambil banyak antioksidan. Antioksidan banyak terdapat  sayuran dan buahan yang segar, terutamanya kerana kaya dengan vitamin E ,C dan beta karotin. Molekul antioksidan bertindak dengan cara menghalang radikal bebas  dari mencederakan sel dan tisu badan.  Anti oksidan yang berpunca dari diet yang seimbang adalah lebih baik dari vitamin kerana ianya lebih mudah dihadam dan  diserap kedalam tubuh badan. Oleh itu, suplimen yang berasaskan sumber semulajadi seperti Iso 7 (Zulian Sdn Bhd) adalah merupakan satu contoh suplimen yang baik.
2. Kecederaan pada masa lalu.
Kecederaan pada masa lampau boleh mempercepatkan proses penuaan pada tubuh yang tercedera.Ini disebabkan tubuh yang tercedera itu sudah kurang stabil dan mengalami banyak tekanan. Gejala kesakitan akan ketara setelah beberapa tahun selepas kemalangan berlaku.Contohnya bagi pesakit yang mengidap arthritis sendi facet pada bahagian tengkok selalunya dikaitkan dengan kemalangan jalan raya beberapa tahun yang lalu.Manakala arthritis sendi lutut pada usia muda selalu dikaitkan dengan kecederaan lutut pada masa lampau.
3.Life style.(gaya hidup)
Postur semasa duduk, berdiri  dan berjalan yang tidak sihat, ergonomik tempat kerja yang tidak seimbang diantara penyebab sakit kronik di zaman moden ini. Sesetengah profesion atau sukan  memberikan penyakit yang agak spesifik kerana disebabkan oleh penggunaan sebahagian tubuh yang terhad tapi melampau. Semuanya ini akan menggalakkan proses “wear & tear” ataupun proses penuaaan. Disamping itu, sikap suka makan banyak dan  makanan yang kaya karbohidrat dan lemak menyebabkan kegemukan. Sikap malas  bersenam pula akan menambah lagi kepada masalah  kegemukan disamping fungsi paru-paru dan jantung yang kurang cergas. Diet yang tidak seimbang, terutamanya kurang serat akan menyebabkan sembelit disamping juga akan memusnahkan keseimbangan bakteria baik dan jahat pada usus besar. Akibatnya pengumpulan toksin berlaku yang seterusnya akan menggalakkan pembentukan radikal bebas yang bertanggungjawab kepada proses penuaan. Tambahan pula kesibukan berkerja kadang-kadang mendorong kita untuk menangguh untuk buang air besar, ini akan memburukkan lagi keadaan. Jika anda merokok atau mengambil minuman keras, keadaan akan menjadi lebih teruk lagi kerana ianya juga akan menggalakan pembentukan radikal bebas. Oleh itu jelas disini bahawa kebanyakan penyakit dizaman moden ini adalah disebabkan oleh life style atau gaya hidup yang  tidak sihat. Oleh itu sebahagian dari strategi rawatan ialah mengembalikan life style atau gaya hidup yang sihat.
4.Mempunyai penyakit/masalah perubatan  lain.
Penyakit seperti kencing manis, sakit buah pinggang, autoimmune (SLE atau rheumatoid arthritis) adalah contoh dimana pesakit akan mengalami proses penuaan yang cepat. Proses penuaan tidak semistinya berlaku di wajah tapi berlaku pada berbagai organ termasuklah pada tulang belakang. Gejala yang paling kerap dilihat ialah gejala srthritis.

Asas pada rawatan kesakitan kronik

Kita tidak boleh hentikan proses penuaan kerana ianya satu proses semula jadi walaupun ianya berlaku agak perlahan. Selagi kita hidup, kita akan menjadi semakin tua dari masa kesemasa.Tua menjadi kita lemah, sakit dan kurang produktif. Sudah tentu ini amat memberi masalah bagi pesakit diusia muda. Prinsip rawatan kesakitan kronik disini  ialah mengawal kesakitan untuk kembali berkerja. Apa yang lebih penting ialah; bila  tidak sakit,kita boleh bergerak cergas, produktif dan gembira walaupun mengalami artritis ataupun cakera tergelincir.Kita tidak perlu risau penyakit yang kita alami asalkan kita tidak rasa sakit dan terus produktif. Caranya ialah mengawal rasa sakit dan melambatkan proses penuaan tersebut dengan pelbagai kaedah moden (ubat dan suntikan) senaman, dan mengekalkan gaya hidup yang sihat.


Tuesday, June 11, 2013

PENING TIDAK SEMESTINYA MIGRAINE

Gejala pening adalah kerap berlaku dikalangan kita tidak kira berapa umur kita. Jika pening anda hanya sebentar dan pulih selepas pengambilan ubat, anda bernasib baik kerana ianya bukan kesakitan yang serius. Jika pening anda menjadi kronik dan sukar dikawal dengan ubat penahan sakit atau anti migrane, itu maknanya anda perlu mengambil perhatian serius kerana diagnosis doktor mungkin tersasar. Anda perlu berjumpa doktor yang lebih arif tentang sakit pening ini untuk penilaian semula. Anda perlu berjumpa dengan pain specialist.
Pening yang kronik. Jangan ambil mudah.

Mengikut silibus doktor, pening boleh disebabkan oleh beberapa penyakit seperti sinusitis,  migraine,cluster haeadache  dan tension headache .
Pening yang disebabkan oleh sinusitis biasanya dirasai pada belakang kening dan juga pada tulang pipi. Biasanya bahagian ini sakit bila dipicit disamping memberi gejala sinusitis lain seperti selsema, hidung yang tersumbat dan demam.
Pening yang disebabkan oleh migraine biasanya dirasai pada sebelah kepala disamping gejala perubahan dalam penglihatan. Biasanya sakit ini amat kuat dan mengambil beberapa hari untuk reda. Pesakit lebih suka menyendiri ketika pening berlaku.
Tension headache ialah pening yang selalunya berlaku bila adanya ketegangan emosi atau fikiran. Pening jenis ini biasanya dirasai berdenyut di dahi dan kekadang hingga ke ubun kepala.
Pening jenis Cluster pula biasanya dirasai pada bahagian mata , terutama di belakang dan dikeliling mata. Pening ini mengambil berhari-hari untuk reda dan selalunya datang secara berkala (dapat dijangka).
Saya tidak mahu mengolah jenis-jenis pening diatas, tapi saya akan perjelaskan jenis pening yang sering berlaku tapi jarang dapat dikesan oleh ramai doktor.Jika anda mengalami pening yang kronik dan masih lagi gagal mendapat rawatan yang sesuai, anda perlu baca artikel ini hingga penghujungnya.

Kes 1.
Seorang wanita berumur 48 tahun telah mengalami gejala pening hampir lima tahun. Beliau pernah berjumpa dengan seorang doktor pakar swasta dan telah di diagnos sebagai penyakit migraine. Ubat migraine pada mulanya agak berkesan tapi sejak 2 tahun lepas sakitnya menjadi bertambah kuat dan tidak ada ubat makan yang dapat mengawalnya walaupun sudah mencuba pelbagai jenis. Peningnya dirasai berdenyut-denyut berpunca dari belakang kepala hingga naik ke ubun kepala. Kosentrasinya terjejas dan beliau tidak dapat tidur malam dengan nyenyak. Kerjayanya sebagai peniaga kedai runcit ternyata terjejas teruk. 5 bulan yang lepas beliau terpaksa dimasukkan ke hospital swasta kerana tidak tahan menanggung sakit pening tersebut. Disebabkan beliau juga mengadu kekejangan otot leher maka doktor pakar orthopedik telah mengarahkan MRI tulang cervical (tengkok) di lakukan. Namun begitu MRI tidak  menunjukkan apa-apa penyakit tulang tengkok yang dapat menjelaskan kesakitan tersebut. Tiada pembedahan perlu dilakukan.
Disebabkan sakit yang amat sangat dan rentan pada rawatan suntikan, beliau telah dirujuk kepada pain specialist. Selepas pemeriksaan dijalankan beliau didapati mengalami penyakit artritis tulang facet ( facet joint arthritis) pada tengkoknya. Rawatannya  ialah beberapa suntikan khas dilakukan pada sendi tengkoknya oleh pain specialist tersebut. Suntikan ini dilakukan dalam bilik bedah dibawah kawalan sinar X.Sakit tengkok dan peningnya hilang dengan serta merta sejurus suntikan diberikan. Keesokan harinya beliau telah dibenarkan pulang . Sakit peningnya telah dapat dikawal sehinggalah kehari ini.

Suntikan pada sendi leher mampu mengawal pening yang berpunca dari artritis .

Huraian penyakit artritis tulang tengkok (cervical facet joint arthritis-kes 1)
Penyakit ini kerap berlaku dikalangan orang berumur disebabkan oleh proses penuaan (degenerative disease) atau pun juga boleh berlaku pada orang muda jika kecederaan tengkok pernah berlaku pada masa lampau contohnya kemalangan jalan raya. Gejala penyakit ini amat jelas iaitu pesakit akan mengalami 2-3 gejala lain; sakit tengkok, sakit bahu dan pening di belakang kepala. Rasa sakit ditengkok dan pening akan bertambah jika pesakit mendongak dan memusingkan kepala mereka kebelakang. Ketiga-tiga gejala ini ada terdapat pada pesakit ini semasa pemeriksaan dilakukan. Ianya terlalu senang pada kaca mata pain specialist tapi “susah” pada doktor lain yang bidang kepakaran yang berbeza. Sayugia diingatkan bahawa ini bukanlah satu-satunya pesakit ini yang telah berjaya dirawat, tapi saya telah berjaya merawat berpuluh – puluh lagi pesakit seperti ini yang semuanya memberi gejala yang hampir sama. Apa yang saya hendak tegaskan disini ialah kebanyakan pesakit ini telah mempunyai dignosis penyakit yang tersasar menyebabkan rawatan yang diterima sebelum ini tidak tepat. Lebih menarik lagi hampir kesemua kesakitan ini dapat dikawal dengan mudah melalui kaedah suntikan ini.

Kes 2.
Seorang jururawat hospital berumur 35 tahun telah mengadu sakit bahu dan pening yang kronik hampit setahun lamanya. Pening yang dirasainya tepat terletak diubun kepala dan beliau  telah mendefinasikan pening sebagai hanyut dan kadang kadang berdenyut . Beliau juga memberi gejala mudah gelap mata atau hampir pitam bila mengubah posisi badan. Gejala pening ini tidak disebabkan oleh ubat atau penyakit kencing manis atau darah tinggi.Tapi beliau mengaku terlibat dalam kemalangan jalanraya semasa memandu kereta 2 tahun yang lalu.
Beliau juga memberi gejala kekejangan pada otot tengkok dan bahunya. Pergerakan leher dan bahu kanannya terbatas kerana ianya menambah kesakitan yang sedia ada. Tangan kanannya kadang-kadang dirasai seperti kebas-kebas dan kurang rasa.
Ini menyebabkan fungsi sehariannya  sebagai surirumah dan jururawat terjejas teruk. Beliau telah dirawat oleh seorang doktor pakar, MRI tulang tengkok telah dibuat tapi tidak dapat mengenalpasti punca penyakit. Beliau kemudiannya dirujuk pada  pain specialist. Setelah diperiksa, beliau di kenalpasti mengalami penyakit artritis tulang tengkok (cervical facet joint arthritis) dan juga sindrom myofasia (myofascial pain syndrome) yang melibatkan otot leher dan bahunya. Dua otot leher yang terlibat dalam sindrom myofasia ini ialah otot trapezius dan sternomastoid.
Beliau telah dirawat dengan ubat penahan sakit (celebrex) dan suntikan pada sendi facet tengkoknya sama seperti kes diatas. Suntikan (trigger point injection) juga diberikan pada ke dua otot yang mengidap  sindrom myofasia tersebut disamping senaman regangan yang khusus untuk otot leher dan bahu yang terlibat.Semua gejala yang dihadapi termasuk pening, sakit tengkok dan bahu beransur hilang dalam masa dua minggu selepas rawatan.

Huraian penyakit artritis tulang tengkok dan syndrom myofasia (kes 2)

Penyakit facet arthritis sendi tengkok dalam kes ini nampaknya hampir sama dengan kes yang pertama. Tiga gejala utama ialah pesakit mengalami pening, sakit tengkok dan sakit bahu.Tapi dalam kes 2 ini penyebab pening itu lebih dari satu. Selain dari berpunca dari sendi facet, iajuga disebabkabkan oleh penyakit sindrom myofasia otot leher yang kerap juga memberi gejala pening kepala.
Telah diketahui bahawa sindrom myofasia adalah sejenis sakit otot kerangka yang berpunca dari kekejangan otot yang kronik. Sebahagian ciri penyakit sindrom myofasia ini ialah sakitnya dirasai menjalar ketempat lain (pain radiation) dan kekadang memberi gejala pening, rasa hanyut, loya, sendawa dan pandangan yang kabur (sila rujuk artikel saya Harian Metro Ahad, 8 November 2009).  Semua gejala pelik ini selalunya berkait dengan penyakit sindrom myofasia yang melibatkan otot pada leher. Dua otot leher yang kerap memberi gejala pening bila terlibat dalam sindrom myofasia ini ialah otot trapezius dan sternomastoid.
Otot trapezius yang terlibat dengan penyakit myofasia selalunya  memberi kesakitan ketara pada pangkal leher bila otot ini dipicit (trigger point). Sakit pada leher ini boleh dirasai menjakar naik ke ubun –ubun kepala dan memberi gejala pening.
Manakala otot sternomastoid pula amat terkenal dengan memberi gejala pelik sampingan seperti pening , hanyut, rasa mahu pitam, gelap mata dan sebagainya. Rawatan untuk pesakit kes 2 nampaknya berbagai kerana penyebab peningnya lebih dari satu. Kesilapan  diagnosis klinikal akan menyebabkan rawatan yang tidak berkesan. Pesakit akan  menjadi keloh kesah  kerana mereka akan cenderung untuk memikirkan kemungkinan penyakit yang lebih serius.Sedangkan penyakit artritis sendi facet dan sindrom myofasia  ini adalah kurang merbahaya (benign) tetapi cukup untuk memberikan kesakitan ketara yang kronik dan menjejaskan fungsi harian. Apa yang lebih penting ialah kesakitan dari artritis sendi facet dan sindrom myofasia  ini boleh sembuh jika pesakit menerima rawatan yang sepatutnya.




Tuesday, June 4, 2013

Sakit Sendi Pinggul; 
Boleh menjejaskan fungsi wanita.

Jika anda seorang wanita yang berumur 40 tahun keatas dan sering mengalami sakit pada punggung, anda perlu baca artikel ini kerana anda mungkin mengalami penyakit arthritis sendi pinggul. Sakit ini memang menyeksakan dan menjejaskan fungsi harian anda. Berita baik untuk anda ialah rawatan yang berkesan kini sudah ada di Malaysia.

Apa itu penyakit arthritis sendi pinggul?
Sendi pinggul (sacroiliac joint) merupakan sepasang sendi besar yang terletak pada kiri dan kanan punggung. Sendi ini menyambungkan tulang pinggul (pelvic) dengan tulang sacrum pada bahagian punggung. Fungsinya ialah meyokong dan menstabilkan tulang pelvic dan  tulang belakang ketika kita melakukan pergerakan.Ia juga berfungsi sebagai penyerap gegaran (shock absorber) pada tulang pelvic dan tulang belakang.
Sendi pinggul (sacroiliac joint) yang boleh mengalami arthritis.
Sakit pada sendi pinggul ini selalunya disebabkan oleh arthritis yang biasanya di sabitkan dengan proses penuaan (degenerative disease) .Penuaan ini pula di sabitkan oleh permukaan sendi yang haus dan proses keradangan(inflammation) yang di sebabkan oleh penggunaan yang melampau (wear and tear). Sebab lain boleh berlaku ialah seperti kecederaan, kanser, juga penyakit arthritis lain seperti Ankylosisng Spondylosis atau Rheumatoid arthritis. Struktur  belakang yang tidak seimbang dan panjang kaki yang tidak seimbang juga telah diketahui sebagai penyebab kesakitan pada sendi pinggul ini.
Insiden sakit sendi pinggul ini ialah 22.5% dikalangan pengidap sakit pinggang yang kronik. Kebanyakan pesakit adalah wanita.yang berumur 40 tahun keatas. Ini adalah kerana faktor hormon dan juga fungsi dan aktiviti harian mereka yang menyebabkan penggunaan sendi yang lasak. Aktiviti tersebut menyebabkan regangan dan penggunaan ligament yang terlampau dikeliling tulang pelvic menyebabkan banyak ligament tercedera dan  lemah. Keadaan ini menyebabkan pergerakan yang abnormal pada sendi ini dan seterusnya keradangan atau arthritis.

Gejala klinikal arthritis sendi pinggul.
Pesakit akan mengalami sakit pada belakang pinggang terutamanya pada kiri atau kanan pinggul yang kadang-kadang menjalar turun kepunggung dan belakang peha. Pergerakan seperti bangun dari katil, kerusi atau tunduk kebawah akan mencetuskan rasa sakit ini. Pesakit mungkin tidak dapat duduk atau berdiri lama kerana tidak tahan rasa sakit pada kiri atau kanan punggung. Dalam  keadaan yang serius pesakit akan rasa sakit bila tidur terlentang dan tidak mampu melakukan hubungan seksual kerana ia memberi tekanan langsung pada sendi ini.
Biasanya pesakit akan dirawat oleh pakar tulang dengan ubat penahan sakit seperti celebrex atau paracetamol. Sebahagian akan dirujuk pada physiotherapy untuk rawatan haba dan senaman yang tertentu. Tapi strategi diatas hanya berkesan untuk sakit yang ringan. Jika rawatan diatas gagal anda perlu dirujuk kepada pakar kesakitan kronik, kerana ada rawatan yang terkini yang berkesan ada untuk merawat penyakit ini.

Rawatan untuk arthritis sendi pinggul.
Diagnosis arthritis sendi pinggul ini boleh dilakukan dengan teknik pemeriksaan klinikal sahaja. X Ray, MRI, Bone Scan tidak banyak membantu dan membazir. Anda perlu tahu bahawa banyak penyakit lain yang boleh menyerupai sakit sendi pinggul ini.Oleh itu anda perlu berjumpa doktor yang terbaik dalam merawat penyakit anda.Dapatkan pendapat kedua jika rawatan pembedahan telah disarankan pada anda.
Rawatan mujarab yang di berikan oleh pakar kesakitan kronik ialah teknik radiofrekuensi dan juga suntikan ubat steroid pada sendi pinggul. Seperti rawatan radiofrequensi yang telah saya tulis dalam artikel yang lepas, teknik ini melibatkan suntikan pada beberapa saraf kecil yang mensarafi sendi ini. Arus elektrik yang berfrekuensi tinggi disalurkan pada jarum khas tersebut yang bertujuan untuk “melumpuhkan” saraf ini. Kesannya ialah isyarat rasa sakit akan terbantut dan pesakit akan rasa tidak sakit serta merta. Kejayaan kami merawat pesakit dengan kaedah ini mencapai 90%. Jadi, kenapa anda perlu hidup dalam kesakitan jika ada rawatan berkesan yang dapat mengembali kehidupan anda?

Teknik suntikan radiofrekuensi untuk pesakit arthritis sendi pinggul.

Monday, May 27, 2013


Sakit Belakang Cakera Tergelincir 
Apa yang anda perlu tahu?

Sepanjang pengalaman saya dalam profesion kesakitan kronik, penyakit cakera tergelincir atau slipped disc merupakan penyakit paling diketahui umum. Tapi tidak ramai di kalangan pesakit ini tahu tentang fakta sebenar rawatan bahawa majoriti (80-90%) kes ini tidak memerlukan pembedahan. Kebanyakan mereka boleh sembuh dengan rawatan konservatif (tanpa pembedahan).Untuk anda yang mengalami kesakitan tulang belakang yang berpunca dari cakera tergelincir, artikel ini akan membantu anda untuk memahami dengan lebih jelas lagi tentang rawatan sebenar.

Apa itu penyakit cakera tergelincir tulang belakang?

Cakera tulang belakang ialah sejenis tissue kenyal  leper yang melapik di antara dua segmen tulang belakang. Terdapat berpuluh cekera sepanjang tulang belakang kita bermula dari leher hinggalah kepinggang. Fungsinya ialah untuk menyerap gegaran dan (shock absorber) dan mengagihkan tekanan yang sekata pada tulang belakang.Penyakit cakera tergelincir atau slipped disc ialah disebabakan oleh berlakunya benjolan/gelinciran (herniation) cakera ini yang selalunya disusuli dengan himpitan pada akar saraf (nerve root) yang berdekatan disitu. Selain dari itu kemungkinan juga berlaku rembesan cecair kimia dari cekera yang amat toksik pada akar saraf. Oleh itu pesakit biasanya akan memberi gejala sakit belakang yang menjalar turun kekaki (sciatica)jika ianya berlaku dibahagian pinggang. Manakala rasa sakit pada tengkok yang menjalar turun ke tangan akan berlaku pada pesakit yang menghidapainya pada bahagian leher. Kesakitan yang turun kekaki atau tangan itu ialah sejenis sakit saraf yang ditafrifkan sebagai elektrik shock, mencucuk, kebas  atau panas yang disebabkan oleh himpitan akar saraf tadi. Rasa sakit biasanya akan bertambah kuat jika pesakit bersin atau batuk.


Kenapa benjolan atau kegelinciran ini berlaku? Keadaan ini disebabkan oleh rekahan atau kelemahan cakera itu sendiri. Kenapa boleh berlaku kelemahan atau rekahan pada cakera ini? Kajian telah menunjukkan berlakunya proses penuan yang cepat yang selalunya disabitkan dengan penggunaan yang lasak atau melampau (wear and tear). Sebab itulah penyakit cakera tergelincir ini kerap berlaku di bahagian pinggang dan tengkok. Sebab bahagian inilah tulang belakang kita banyak melakukan pergerakan.Terdapat faktor resiko yang telah diketahui boleh menjuruskan kepada penyakit ini. Orang yang berkerja banyak melakukan angkat objek berat, membongkok, batuk kronik,obesiti telah dikaitkan dengan berlakunya penyakit ini.Ini disebabkan aktiviti ini memberikan tekanan yang kuat pada tulang belakang. Sebab itulah penyakit ini juga boleh berlaku pada orang muda.
Mekanisma sakit saraf yang berpunca dari cakera tergelincir.

Diagnosis dan Kecelaruan diagnosis.

Biasanya sakit ini datang dengan tiba-tiba dan berlanjutan menjadi kronik sehingga berbulan atau bertahun jika anda tidak menerima rawatan sepatutnya.Diagnosis penyakit ini boleh dibuat oleh doktor orthopedic atau pakar rawatan sakit kronik. Pemeriksaan klinikal dan siasatan termasuk X Ray dan MRI perlu untuk sokongan. Bukti pada MRI yang selaras dengan gejala klinikal diambil kira dalam membuat diagnosis. Ini adalah kerana kajian telah membuktikan 30% daripada orang ramai yang mengalami cakera tergelincir (berdasarkan MRI) langsung tidak mengalami apa-apa gejala klinikal. Jadi, jika MRI anda menunjukkan bukti cakera tergelincir tapi kesakitan anda tidak seperti yang sepatutnya (sakit belakang yang menjalar turun ke kaki) maka pembedahan tidak patut dilakukan.  Doktor sepatutnya merawat pesakit bukannya merawat MRI.
Lebih mengelirukan lagi banyak keadaan klinikal lain boleh meyerupai gejala cakera tergelincir ini.Penyakit sendi lumbar facet, pririformis syndrome, sakit akar saraf kimia (chemical radikulopaty) sakit otot myofascial pada belakang dan punggung juga mampu menghasilkan sakit yang menjalar turun kekaki dengan kualiti yang agak berbeza. Doktor yang bijak akan dapat membezakan penyakit-penyakit ini dengan penyakit cakera tergelincir.

Rawatan

Bergantung kepada keterukan sakit anda, rawatannya juga akan berbeza. Anda perlu tahu bahawa kebanyakan pesakit (80-90%) akan beransur sembuh dalam setahun hanya dengan rawatan konservatif (tanpa pembedahan). Hanya 10% pesakit yang mengalami cakera tergelincir memerlukan pembedahan sebagai rawatan muktamat akhirnya.Di negara maju seperti Singapura, semua kes cakera tergelincir akan di rujuk kepada pakar kesakitan kronik dahulu untuk rawatan konservatif sebelum pakar bedah orthopedic memutuskan untuk pembedahan.Tetapi senario ini tidak berlaku di Malaysia. Banyak pesakit  dilakukan pembedahan dengan  justifikasi yang agak longgar. Pastikan anda mendapat rawatan konservatif yang betul sebelum akhirnya setuju untuk melakukan pembedahan. Pakar kesakitan kronik boleh membantu anda.


Apakah rawatan konservatif untuk cakera tergelincir?

  1. Suntikan epidural steroid. Teknik ini samalah dengan kaedah epidural untuk mengurangkan sakit bersalin. Cumanya selain dari ubat bius, doktor juga akan memasukkan sedikit steroid untuk mengurangkan bengkak dan keradangan pada akar saraf yang terhimpit oleh cakera tergelincir.Teknik ini paling tepat jika dilakukan oleh pakar sakit kronik.Sakit saraf yang menjalar turun kekaki akan lega serta merta. Lebih awal suntikan dibuat maka akan lebih baik kesan penyembuhannya. Keberkesanan suntikan epidural ini lebih ketara jika suntikan dibuat dalam satu bulan pertama.

Suntikan epidural steroid dapat melegakan kesakitan saraf yang berpunca dari cakera tergelincir.

  1. Sentiasa aktif dan bergerak sekadarnya. Ini akan menggalakkan pengaliran darah dan oksigen pada cekera yang cedera itu. Rehat dikatil sambil melakukan traction tidak lagi diguna pakai sekarang ini.Elakkan pergerakan yang boleh mencetuskan rasa sakit tersebut seperti membongkok atau terlalu cepat menukar posisi.
  2. Ubat penahan sakit seperti paracetamol, celebrex dapat membantu. Selain dari itu anda juga akan diberi ubat saraf seperti gabapentin. Ubat untuk melembutkan otot belakang juga kan diberi seperti baclofen kerana keadaan ini biasanya disusuli dengan kekejangan otot belakang.
  3. Senaman yang khusus yang bertujuan untuk menguatkan otot perut dan belakang. Dua otot ini perlu dikuatkan kerana mereka berperanan sebagai penyokong semula jadi tulang belakang (corset).
  4. Mengelakkan pergerakan dan posisi tertentu yang boleh mencetus semula kejadian cakera tergelincir. Mekanik badan (body mechanic) yang betul akan diajar dalam melakukan fungsi harian samada di tempat kerja atau dirumah.
  5. Kurangkan berat badan.
 Apakah indikasi untuk pembedahan tulang belakang?

Akhirnya anda perlu tahu  bila sepatutnya/indikasi pembedahan tulang belakang patut dibuat untuk penyakit cakera tergelincir ini. Indikasi ini diguna pakai sebagai standard dimana-mana saja samada di Malaysia atau diluar negara. 
  1. Bila rawatan konservatif yang dilakukan gagal mengawal sakit anda.Ia menjelaskan bahawa himpitan pada akar saraf yang agak teruk.Biasanya keputusan ini dibuat setelah enam bulan menjalani rawatan konservatif ini gagal memberikan sekurang-kurangnya 50% kelegaan kepada rasa sakit.
  2. Bila berlakunya perubahan yang tiba-tiba kepada fungsi saraf  dikaki anda. Contohnya  kaki anda menjadi lemah dan tidak boleh berjalan secara tiba-tiba selain dari rasa sakit atau kebas yang sedia ada.
  3. Terdapat ganguan saraf pada sistem kencing dan usus. Anda rasa susah kencing atau buang air besar secara tiba-tiba. Ataupun anda rasa sukar untuk mengawal kencing dan berak menyebabkan kebocoran berlaku (caudal equinal syndrome).
Tiga sebab ini merupakan indikasi sebenar untuk dilakukan pembedahan. Indikasi ke 2 & 3 merupakan kedaan kecemasan yang memerlukan pembedahan dengan segera. Saya sendiri akan merujuk pesakit saya kepada doktor bedah orthopedik jika tanda-tanda ini berlaku. Anda boleh berbincang dengan doktor yang merawat dengan menggunakan panduan ini. Ini dapat mengelakkan pembedahan tulang belakang dilakukan yang tidak perlu.Tambahan pula kajian menunjukkan bahawa 10-40 % daripada pembedahan tulang belakang akan memberikan kesakitan sampingan lain kemudian hari. 


Monday, May 20, 2013


Sakit Tengkok Kronik

 

Jika sakit tengkok anda  berlarutan lebih dari 6 bulan anda mengalami  sakit tengkok yang kronik. Awas, jangakamasa yang panjang ini memberi isyarat bahawa anda sedang mengalami penyakit yang serius. Serius kerana kesakitan kronik ini bakal membunuh kehidupan anda. Kesakitan kronik bakal  menjejaskan produktiviti dan fungsi harian anda. Sakit tengkok yang kronik boleh berpunca dari beberapa struktur pada leher anda seperti;
·         Sakit otot dan fasia yang kronik (syndrom myofascia)
·         Saraf leher yang tersepit
·         Atritis dari sendi facet
·         Cakera yang tergelincir
·         Saraf tunjang yang tersumbat (Spinal stenosis)
·         Tulang belakang(vertebra)
·         Urat/Ligament

Kesakitan tengkok yang kronik boleh menjejaskan produktiviti dan fungsi harian anda.

Apakah penyebab kesakitan tengkok yang kronik?
·         Proses penuaan seperti spondylosis, cakera tergelincir dan spinal stenosis.
·         Penyakit arthritis atau Sindrom sendi facet  
·         Postur yang salah ketika bekerja
·         Kecederaan pada masa lampau seperti kemalangan jalanraya (post whipplash injury)
·         Osteoporosis
·         Penyakit kanser pada tulang belakang
·         Struktur tulang belakang yang abnormal(scoliosis)
·         Stress dan bimbang yang berpanjangan

 

Penyebab sakit tengkok kronik yang paling kerap berlaku ialah muscle starain yang disebabkan oleh salh postur atau penggunaan otot yang berlebihan. Biasanya anda kan rasa lenguh –lenguh dan ubat penahan sakit seperti panadol dan sakit urat seperti celebrex bisanya berkesan. Rehat yang cuckup dan mengurut dengan lembut pada bahagian otot ini juga akan memberi kelegaan. Biasanya sakit jenis ini akan hilang dengan sendirinya dalam masa satu hingga dua minggu.

Manakala sakit tengkok yang lebih serius biasanya melibatkan  cakera tergelincir, spinal stenosis dan sindrom sendi facet. Walaupun penyakit ini dikatagorikan oleh sebab penuaan, tapi trend sekarang menunjukkan penyakit ini sudah mula dihidapi oleh orang muda. Maknanya orang sekarang mengalami proses penuaan yang cepat tanpa kita tahu puncanya.

Biasanya kesakitan tengkok yang serius akan disusuli dengan sakit otot sindrom myofascia yang menambah kesengsaraan dan rasa sakit pada leher.  Bagi doktor yang mahir beliau boleh menganggarkan peratus yang disumbangkan oleh punca yang berbeza ini. Punca sakit yang berbeza memberi rasa sakit yang berlainan.Rawatan khusus untuk penyakit-penyakit  diatas telahpun saya bincangkan  dalam artikel saya dalam keluaran yang lepas.

Sakit kronik pada otot leher,bahu dan belikat yang sering belaku dalam sindrom sendi facet leher.

 

Apakah gejala yang mungkin anda alami?

 Jenis kesakitan pada leher berbeza-beza bergantung pada penyebab/diagnosis kesakitan. Ianya boleh bermula dengan  rasa tidak selesa sehinggalah kepada kejang, mencucuk, berdenyut atau panas yang menjejaskan pergerakan ketika memusing,mendongak atau menunduk pada sendi leher.

Selain dari sakit tengkok, gejala sampingan lain ialah pening yang bepunca dari belakang kepala yang naik keubun ubun biasanya berlaku dalam penyakit sindrom sendi facet. Ramai pesakit saya yang menerima rawatan  migrain disebabkan oleh diagnosis yang salah oleh doktor terdahulu. Gejala sampingan lain seperti rasa  hanyut, bengang telinga dan kabur mata biasanya  disebabkan oleh sindrom myofascia  otot leher/tengkok yang serius. Sakit otot myofascia biasanya akan melibatkan  otot tengkok, bahu dan belikat yang amat sakit bila dipicit.Gejala sindrom myofascia ini sukar dikenalpasti dan dirawat oleh kebanyak doktor biasa.

Anda mungkin mengalami gejala sakit mencucuk atau kebas yang turun bahu, lengan atau tangan. Rasa sakit yang mencucuk, renjatan elektrik, kebas atau panas pada leher yang turun ketangan adalah  sakit yang berpunca dari saraf yang tercedera atau tersepit. Ini selalu berlaku dalam cakera tergelincir, spinal stenosis atau sindrom thorasik outlet. Dalam keadaan yang lain penyakit sindrom myofascia pada otot leher juga  kerap memberikan gejala sakit yang menjalar turun ke tangan.menyerupai sakit cekera tergelincir.

Anda juga mungkin akan mengalami gejala kelumpuhan atau lemah pada otot tangan atau bahu anda jika penyakit ini sudah mencapai tahap yang serius.Sudah pastinya keadaan ini akan menjejaskan produktiviti dan fungsi harian anda.

Apakah isyarat berkait dengan sakit tengkok yang serius?

 Tidak kira apa punca kesakitan anda, berikut adalah gejala yang biasanya dirasai oleh pesakit jika keadaan yang serius. Ini bermakna anda perlu mendapatkan pemeriksaan dan rawatan  doktor pakar dengan segera.

·         Tangan dan jari yang tiba-tiba jadi lemah. Contohnya tidak mampu menyidai kain diampaian.

·         Tangan dan jari yang mulai  rasa sejuk dan kebiruan.

·         Rasa sakit yang ynag bertambah kuat dan tidak dapat dikawal dengan ubat tahan sakit atau ubat saraf.

·         Pening yang serius atau selalu pitam.

·         Kabur mata, telinga berdengung, loya dan muntah.

·         Kurang berat badan secara mendadak

 Apa yang anda dapat lakukan?

·         Sentiasa aktif dan bergerak sekadar yang boleh, tapi jangan paksa pergerakan jika telalu sakit.

·         Jangan berurut yang melibatkan manipulasi tulang/sendi tengkok

·         Pakai kolar leher jika diberikan oleh doktor.Tapi jangan pakai semasa memandu kereta kerana ianya menghadkan pergerakan kepala.

·         Berjumpa doktor pakar seperti pakar kesakitan kronik, ortopedik atau pakar saraf.Ini penting untuk memastikan punca kesakitan anda. Saya nasihatkan anda  dapatkan pendapat kedua jika mahukan kepastian diagnosis dan plan rawatan.

·         Rawatan physiotherapi dan terapi cara kerja juga memainkan berperanan dalam mengawal rasa sakit dan mengelak kecederaan berterusan pada leher anda.Anda juga akan diberitahu tentang aktiviti yang patut dibuat dan dielak bergantung pada jenis penyakit anda.

·         Senaman regangan dan kekuatan otot leher dan bahu.Ini boleh dipelajari jika anda berjumpa pakar sakit kronik atau physioterapi.

·         Makan ubat penahan sakit,ubat saraf , ubat pelembut otot atau ubat penenang seperti yang diarahkan oleh doktor.

·         Rawatan suntikan oleh pakar kesakitan kronik.Berbagai kaedah suntikan boleh diberikan bergantung jenis penyakit anda.Contohnya suntikan epidural steroid, suntikan epiduroplasti, suntikan radiofrekuensi, suntikan  triggerpoint pada otot yang sakit.Sebahagian rawatan suntikan ini merupakan pilihan kepada rawatan pembedahan tulang tengkok.   

 

 



Monday, May 13, 2013


Sakit belakang,pastikan diagnosisnya tepat...

Sakit belakang adalah satu gejala klinikal yang kerap berlaku dikalangan kita. Dianggarkan 80% daripada kita akan mengalami gejala sakit belakang sepanjang umur kita.Dilapurkan bahawa 26% dari rakyat Amerika syarikat akan mengalami gejala sakit belakang sekurang-kurangnya sehari dalam setiap tiga bulan.Walaubagaimana pun statistik sakit belakang dikalangan rakyat Malaysia belum ada, tapi kita maklum bahawa gejala ini banyak belaku dikalangan kita. Sakit belakang  telah dikenalpasti sebagai penyebab utama kurangnya produktiviti dikalangan pekerja yang disebabkan oleh keilyatan (disable) dan  pengeluaran sijil sakit yang melampau.
Kebanyakan kes sakit belakang biasanya tidak serius yang disebabkan oleh kecederaan mikroskopik pada otot rangka yang dikenali sebagai muscle strain ketika melakukan aktiviti fizikal seperti mengangkat beban yang berat atau berkebun. Sakit seperti ini kan beransur pulih dalam satu-dua minggu dan amat berkesan dengan pengambilan ubat NSAIDs seperti postan atau celebrex. Tapi jika sakit belakang anda berlarutan lebih dari enam bulan, anda perlu memberikan perhatian yang lebih serius kerana jangkamasa yang lama memembri isyarat bahawa anda menghadapi penyakit belakang yang serius dan bakal membunuh kehidupan anda. Kesakitan dari tulang belakang akan mengekang apa saja pergerakan anda. Produktiviti anda akan menurun, lalu pendapatan anda terjejas.Anda akan terbelenggu dengan jerat biopsikososial yang komplek. Walaubagaimanan pun insiden sebenar penyakit yang dikaitkan dengan sakit belakang yang serius adalah kurang dari satu peratus.
Disebabkan oleh sakit belakang yang kronik, anda mungkin telah berjumpa dengan ramai doktor tapi rawatan yang diberikan masih tidak memberikan hasil yang diharapkan. Lebih sedih lagi walaupun pembedahan tulang belakang telah dilakukan tapi sakit masih lagi tidak berubah.Dalam senario lain pembedahan tulang belakang mungkin telah berjaya melegakan kesakitan asal tapi kesakitan baru pula muncul setelah 3-6 bulan selepas pembedahan.
Penyebab utama kesukaran rawatan ini berlaku ialah;
1. Kesilapan diagnosis.
2. Rawatan yang suboptima kerana kurang pengetahuan dan kepakaran.
3. Komplikasi dari pembedahan tulang belakang.
Walaupun fakta ini perit untuk kita terima tapi inilah hakikat yang kita biasa lihat dikalangan pengidap kesakitan tulang belakang. Kesilapan diagnosis penyakit tulang belakang umpamanya kan membawa kepada rawatan yang tersasar.Lebih malang lagi jika pembedahan dilakukan telah gagal dan pesakit akan mengalami kesengsaraan yang berganda. Saya bukan berniat untuk membuat provokasi, tapi pengalaman saya sejak berkhidmat sebagai pakar rawatan kesakitan kronik (pain specialist) telah menyaksikan banyak masalah ini. Ini mendesak saya  untuk mendedahkan kebenaran ini untuk kebaikan pesakit.
Sakit belakang boleh disebabkan oleh beberapa punca yang mengelirukan

Diantara penyebab utama kesakitan belakang kronik ialah;

·   Kecederaan pada otot rangka yang kronik yang disebabkan oleh tabiat posisi, ergonomik dan biomekanik yang tidak sihat.
·   Sakit sendi facet dan spondylosis -Penyakit ini disebabkan oleh proses penuaan (degenerative disease) pada tulang belakang.
·      Sakit berpunca dari disk (discogenic pain) –penyakit ini disebabkan proses penuaan yang berlaku dalam cakera tulang belakang (disc).Pesakit akan  mengalami kesakitan dalam disk walaupun tanpa kegelinciran disk.
·        Disk tergelincir (Slipped disc)- sakit ini akan menyebabkan pesakit sakit belakang yang menjalar turun ke kaki.Batuk dan bersin akan menambah kesakitan. Begitu juga jika pesakit tunduk kehadapan.
·   Spinal stenosis- sakit ini juga akan menyebabkan pesakit sakit belakang yang menjalar turun kekaki.Tapi sakit akan bertambah kuat jika pesakit berjalan hingga terpaksa berhenti rehat
·         Spondylolisthesis.-tulang belakang yang tergelincir diantara satu sama lain.
·    Kelainan struktur seperti tulang belakang yang bengkok (kyphosis atai scoliosis) dan struktur tulang punggung (pelvis) dan sebagainya.
·         Kanser pada tulang belakang.
·         Sakit arthritis pada sendi pinggul (sacroiliac joint)
·         Osteoporosis
·         “Referred pain” dari penyakit organ dalam abdomen dan pelvis
·         Penyakit keradangan (inflammatiion) atau jangkitan kuman pada tulang belakang.

Realitinya,  proses diagnosis klinikal bukannya semudah seperti membuat senarai si atas. Kerana  tidak semua pesakit akan memberi gejala(symptoms) dan hasil pemeriksaan (sign) yang klasik untuk penyakit-penyakit tersebut seperti yang diharapkan. Tambahan pula kebanyakkan pesakit yang mengalami kesakitan belakang datang dengan lebih dari satu punca kesakitan/penyakit. Ianya boleh berpunca dari tulang belakang, sendi, saraf  atau otot dikawasan tulang belakang pada masa yang sama. Kebanyakan pesakit tulang belakang akan datang dengan “pakej” yang terdiri dari campuran dari punca-punca tersebut secara serentak. Contohnya disebabkan faktor masa yang lama,  slipped disc  bukan hanya akan datang dengan sakit belakang dan sciatica sahaja, tapi juga akan memberi gejala sakit sendi facet lumbar dan juga sakit dari dari otot-otot pinggul yang berpunca dari penyakit sindrom myofasia (myofascial pain syndrome). Doktor yang merawat perlu bijak mengenalpasti yang manakah punca utama (main pain generator) kesakitan belakang pesakit. Kecelaruan akan timbul kerana kebanyakan gejala penyakit dari punca –punca tersebut adalah hampir sama.
Insiden kesakitan otot belakang yang dikenali sebagai myofascial pain syndrome umpamanya, adalah  tinggi dikalangan pesakit yang mengalami kesakitan belakang yang kronik ( 63 %). Malah 36 % darinya dikenalpasti sebagai penyebab utama kesakitan belakang (main pain generator). Salah satu ciri luarbiasa penyakit otot ini ialah ianya mampu untuk menyerupai(mimic) penyakit tulang belakang yang lebih serius seperti slipped disc.  Jika sesaorang doktor itu kurang pengetahuan tentang penyakit myofascial pain syndrome ini maka pembedahan yang  tidak perlu akan berlaku. Sila baca senario dua kes yang telah saya rawat baru-baru ini;

Kes 1
Seorang guru berumur 45 tahun telah mengalami kesakitan  pinggang yang kronik yang menjejaskan aktiviti hariannya. Beliau tidak boleh berdiri dan duduk lama kerana posisi itu akan menyebabkan sakit bertambah teruk. Beliau tidak boleh memandu kerana aktiviti tersebut akan menyebabkan kesakitan pinggangnya  menjalar turun kekaki.Beliau telah dirawat oleh doktor orthopedik dan pembedahan telah dilakukan pada tulang belakangnya setelah diagnosis slipped disc dibuat berdasarkan MRI. Namun selepas dua minggu pembedahan sakitnya masih ada malah  bertambah kuat. Beliau kemudiannya dirujuk kepada pakar rawatan kesakitan kronik. Diagnosis dan rawatan dari pakar rawatan kesakitan kronik ini nampaknya berbeza sama sekali. Pesakit ini sebenarnya mengalami kesakitan dari sendi facet lumbar dan dalam disk (discogenic pain). Ini terbukti kerana rawatan suntikan radiofrekuensi yang diberikan berdasarkan diagnosis tersebut telah berjaya melegakan kesakitan pesakit dengan ketara. Beliau kini amat gembira kerana dapat melakukan semula semua aktiviti asalnya.

Kes 2
Seorang pengurus kilang  wanita berumur 60 tahun telah mengadu kesakitan kronik pada pinggang dan punggungnya selama beberapa tahun. Beliau memberikan gejala sakit pinggang yang ada kalanya menjalar turun ke dua-dua belah kakinya hingga ke betis. Berdasarkan MRI tulang belakang diagnosis spinal stenosis yang dibuat.  Pakar bedah orthopedic memutuskan untuk melakukan pembedahan pada tulang belakangnya tapi pesakit rasa takut lalu menolak rawatan pembedahan tersebut. Pesakit kemudiannya telah berjumpa pula dengan pakar kesakitan kronik untuk mendapat pandangan kedua. Nampaknya pandangan pain specialist ini agak berbeza.Walaupun beliau setuju dengan diagnosis spinal stenosis, tapi punca kesakitan sebenarnya bukan dari situ. Pesakit sebenarnya mengalami syndrom myofasia  otot punggung piriformis yang mencengkam saraf pada kedua-dua  punggungnya. Situasi ini memang diketahui kerap menyerupai gejala penyakit spinal stenosis dan slipped disc.Ini terbukti kerana dengan hanya dua kali suntikan pada otot punggungnya dan diikuti dengan senaman yang khusus, kesakitannya telah hilang sama sekali tanpa perlu dilakukan pembedahan tulang belakang.


Sakit belakang. Pastikan diagnosis dan rawatannya tepat.

Monday, May 6, 2013


Tip untuk penjagaan tulang belakang.

Sakit belakang dikalangan orang tua selalunya disebabkan oleh proses penuaan (degenerative disease).Fakta ini kita dapat terima dengan baik kerana sudah dijangka.Tapi kenapa  anda boleh dapat penyakit tulang belakang yang serius diusia muda?Adakah proses penuaan pada tulang belakang kini berlaku pada orang muda? Ramai pesakit saya juga bertanyakan soalan yang sama tidak kira apa punca kesakitan tulang belakang mereka samada artritis sendi facet atau pinggul, cakera tergelincir (slipped disc) ataupun sakit discogenik.Malah ianya menjadi satu trend sekarang ini dimana penyakit orang tua kini boleh dihidapi oleh orang muda.

Proses penuaan adalah disebabkan oleh  tindakbalas radikal bebas kepada tubuh kita (rujuk pada artikel saya yang lepas). Proses ini boleh juga berlaku dikalangan orang muda dalam beberapa keadaan.Kecederaan masa lampau, postur serta ergonomik yang tidak seimbang dan faktor Life style(gaya hidup) yang tidak sihat telah dikenal pasti mempercepatkan proses penuaan melalui  penggunaan yang terlampau (wear & tear) pada tulang belakang anda. Postur semasa duduk, berdiri  dan berjalan yang tidak sihat, ergonomik tempat kerja yang tidak seimbang (paras mata dengan skrin komputer) telah dikenalpasti menjadi penyebab sakit kronik di zaman moden ini.

Sesetengah profesion atau sukan  pula memberikan kesakitan pada sebahagian tubuh badan yang agak spesifik. Contohnya seorang kerani akan cenderung mendapat sakit otot bahu dan tengkok kerana banyak mengangkat bahu semasa menaip. Seorang dentis akan cenderung untuk mendapat penyakit arthritis sendi facet atau cervicel spondylosis kerana banyak melakukan aktiviti drilling.Apa yang berlaku, semua aktiviti-aktiviti ini mendorong kepada penggunaan tubuh yang terhad yang melampau. Semuanya ini akan menggalakkan proses “wear & tear” dan seterusnya mempercepatkan proses penuaaan.


Life style dan sakit kronik

Sedar atau tidak kebanyakan penyakit zaman moden ini adalah disebabkan life style kita yang kurang sihat. Contohnya, sikap suka makan banyak atau makanan yang kaya karbohidrat dan lemak boleh menyebabkan kegemukan. Sikap malas bersenam pula akan juga menjurus kepada kegemukan disamping fungsi paru-paru dan jantung yang kurang cergas. Orang yang gemuk tulang belakang dan sendi nya berkerja keras untuk menampung berat badan. Jadi tidak hairanlah mereka mudah dapat sakit lutut dan belakang.

Diet yang tidak seimbang, terutamanya kurang serat akan menyebabkan sembelit disamping juga akan memusnahkan keseimbangan bakteria baik dan jahat pada usus besar. Akibatnya pengumpulan toksin berlaku yang seterusnya akan menggalakkan pembentukan radikal bebas yang bertanggungjawab kepada proses penuaan diseluruh tubuh badan kita. Tambahan pula kesibukan berkerja kadang-kadang mendorong kita untuk menangguh untuk buang air besar. Sembelit akan menyusul.Toxin yang berkumpul pada usus besar ini akan memburukkan lagi keadaan. Keadaan akan menjadi lebih teruk lagi jika anda merokok atau mengambil minuman keras kerana ianya juga akan menggalakan pembentukan radikal bebas. Oleh itu jelas disini bahawa kebanyakan penyakit dizaman moden ini adalah disebabkan oleh life style atau gaya hidup yang  tidak sihat. Oleh itu tidak hairanlah sebahagian dari strategi rawatan secara komprehensif, doktor akan menekankan  kembali kepada life style atau gaya hidup yang lebih sihat.

Berikut merupakan beberapa tip –tip postur yang sihat untuk penjagaan tulang belakang.
Tip-tip ini penting dalam usaha untuk mengelakkan kecederaan dan penyakit pada pada tulang belakang dengan cara menggurangkan proses wear & tear. Disamping itu tip-tip ini juga berguna kepada pengidap penyakit tulang belakang yang telah mengalami rawatan.Ia dapat menggelakkan sakit/penyakit tulang belakang dari berulang.


1. Duduk

Gunakan kerusi yang dapat meyokong belakang anda supaya sentiasa dalam posisi tegak.Elakkan posisi menyandar atau menbongkok.Araskan supaya paras meja bersesuaian dengan ketinggian kerusi anda untuk tujuan menulis.Anda boleh guna meja yang boleh diubahsuai ketinggiannya atau pun meja yang condong kearah anda.Bila bangun dari kerusi jangan membongkok, tapi tetapkan bangun dengan menegakkan belakang anda.

2. Memandu

Ubahsuai posisi kerusi kereta anda supaya dapat memberi keselesaan semasa memandu.Pastikan kerusi anda tegak untuk menyokong belakang anda. Pastikan kerusi anda cukup jauh untuk meluruskan kaki anda. Elakkan memandu dalam masa yang terlalu lama.

Gambar menunjukkan postur yang salah(atas) dan postur yang betul (bawah) ketika melakukan aktiviti harian.

3. Berjalan.

Tegakkan belakang semasa berjalan.Sentiasa meletakkan bahu anda pada posisi belakang. Bawa posisi dada anda kehadapan dan perut kedalam.Elakkan berjalan secara membongkok.Elakan pertukaran posisi/arah secara tiba-tiba.

4. Mengangkat objek berat.

Elakkan menggunakan tulang belakang untuk mengangkat berat.Pecahkan bebanan kepada berat yang lebih kecil.sentiasa tegakkan belakang semasa mengangkat sambil membengkokkan sendi lutut dan peha,bukannya tulang belakang anda.

5. Ketinggian pada tempat kerja

Ubahsuai ketinggian meja atau tinggikan kerusi untuk mengelakkan tulang belakang dari membongkok. Sentiasa tegakkan belakang semasa apa saja kerja anda lakukan.Gunakan sendi lutut untuk turun mencapai barang dilantai.

Gambar menunjukkan posture yang salah(atas) dan postur yang betul (bawah)ketika melakukan aktiviti harian.

6. Batuk dan bersin

Otot pada dinding abdomen merupakan natural corset yang membantu kestabilan tulang belakang.Jika otot ini lemah maka banyak masalah tulang belakang akan menyusul. Keraskan perut anda semasa batuk dan bersin.Tahan perut anda semasa batuk dan bersin dengan kedua tangan anda supaya pergerakkan otot perut dapat dikawal.

7. Tidur
Berbaring pada tilam yang rata dan tidak melendut kebawah.Anda perlu mengekalkan lengkungan tulang lumbar (lumbar lordosis) semasa tidur terlentang.Anda boleh menggunakan bantal kecil untuk lapik belakang pinggang anda. Tidur meniarap tidak digalakkan kerana posisi ini akan meningkatkan tekanan kepada sendi facet.

8. Menyarung seluar.

Jika anda ingin memakai seluar, jangan mencuba ketika berdiri kerana ini menyebabkan anda terpaksa membongkok.Sebaliknya pakai seluar anda sambil duduk dikerusi.

9. Elakkan pergerakan/situasi yang memberi impak langsung kepada tulang  belakang.

·         Sukan yang lasak seperti melompat, jogging, rugby, mountain bike.
·         Tukar arah posisi secara tiba-tiba.
·         Batuk atau bersin yang kuat.
·         Mengangkat atau mendukung benda berat.
·         Memungut sesuatu dilantai dengan tiba-tiba.
·         Elakkan obesiti.
·         Sembelit