Monday, May 13, 2013


Sakit belakang,pastikan diagnosisnya tepat...

Sakit belakang adalah satu gejala klinikal yang kerap berlaku dikalangan kita. Dianggarkan 80% daripada kita akan mengalami gejala sakit belakang sepanjang umur kita.Dilapurkan bahawa 26% dari rakyat Amerika syarikat akan mengalami gejala sakit belakang sekurang-kurangnya sehari dalam setiap tiga bulan.Walaubagaimana pun statistik sakit belakang dikalangan rakyat Malaysia belum ada, tapi kita maklum bahawa gejala ini banyak belaku dikalangan kita. Sakit belakang  telah dikenalpasti sebagai penyebab utama kurangnya produktiviti dikalangan pekerja yang disebabkan oleh keilyatan (disable) dan  pengeluaran sijil sakit yang melampau.
Kebanyakan kes sakit belakang biasanya tidak serius yang disebabkan oleh kecederaan mikroskopik pada otot rangka yang dikenali sebagai muscle strain ketika melakukan aktiviti fizikal seperti mengangkat beban yang berat atau berkebun. Sakit seperti ini kan beransur pulih dalam satu-dua minggu dan amat berkesan dengan pengambilan ubat NSAIDs seperti postan atau celebrex. Tapi jika sakit belakang anda berlarutan lebih dari enam bulan, anda perlu memberikan perhatian yang lebih serius kerana jangkamasa yang lama memembri isyarat bahawa anda menghadapi penyakit belakang yang serius dan bakal membunuh kehidupan anda. Kesakitan dari tulang belakang akan mengekang apa saja pergerakan anda. Produktiviti anda akan menurun, lalu pendapatan anda terjejas.Anda akan terbelenggu dengan jerat biopsikososial yang komplek. Walaubagaimanan pun insiden sebenar penyakit yang dikaitkan dengan sakit belakang yang serius adalah kurang dari satu peratus.
Disebabkan oleh sakit belakang yang kronik, anda mungkin telah berjumpa dengan ramai doktor tapi rawatan yang diberikan masih tidak memberikan hasil yang diharapkan. Lebih sedih lagi walaupun pembedahan tulang belakang telah dilakukan tapi sakit masih lagi tidak berubah.Dalam senario lain pembedahan tulang belakang mungkin telah berjaya melegakan kesakitan asal tapi kesakitan baru pula muncul setelah 3-6 bulan selepas pembedahan.
Penyebab utama kesukaran rawatan ini berlaku ialah;
1. Kesilapan diagnosis.
2. Rawatan yang suboptima kerana kurang pengetahuan dan kepakaran.
3. Komplikasi dari pembedahan tulang belakang.
Walaupun fakta ini perit untuk kita terima tapi inilah hakikat yang kita biasa lihat dikalangan pengidap kesakitan tulang belakang. Kesilapan diagnosis penyakit tulang belakang umpamanya kan membawa kepada rawatan yang tersasar.Lebih malang lagi jika pembedahan dilakukan telah gagal dan pesakit akan mengalami kesengsaraan yang berganda. Saya bukan berniat untuk membuat provokasi, tapi pengalaman saya sejak berkhidmat sebagai pakar rawatan kesakitan kronik (pain specialist) telah menyaksikan banyak masalah ini. Ini mendesak saya  untuk mendedahkan kebenaran ini untuk kebaikan pesakit.
Sakit belakang boleh disebabkan oleh beberapa punca yang mengelirukan

Diantara penyebab utama kesakitan belakang kronik ialah;

·   Kecederaan pada otot rangka yang kronik yang disebabkan oleh tabiat posisi, ergonomik dan biomekanik yang tidak sihat.
·   Sakit sendi facet dan spondylosis -Penyakit ini disebabkan oleh proses penuaan (degenerative disease) pada tulang belakang.
·      Sakit berpunca dari disk (discogenic pain) –penyakit ini disebabkan proses penuaan yang berlaku dalam cakera tulang belakang (disc).Pesakit akan  mengalami kesakitan dalam disk walaupun tanpa kegelinciran disk.
·        Disk tergelincir (Slipped disc)- sakit ini akan menyebabkan pesakit sakit belakang yang menjalar turun ke kaki.Batuk dan bersin akan menambah kesakitan. Begitu juga jika pesakit tunduk kehadapan.
·   Spinal stenosis- sakit ini juga akan menyebabkan pesakit sakit belakang yang menjalar turun kekaki.Tapi sakit akan bertambah kuat jika pesakit berjalan hingga terpaksa berhenti rehat
·         Spondylolisthesis.-tulang belakang yang tergelincir diantara satu sama lain.
·    Kelainan struktur seperti tulang belakang yang bengkok (kyphosis atai scoliosis) dan struktur tulang punggung (pelvis) dan sebagainya.
·         Kanser pada tulang belakang.
·         Sakit arthritis pada sendi pinggul (sacroiliac joint)
·         Osteoporosis
·         “Referred pain” dari penyakit organ dalam abdomen dan pelvis
·         Penyakit keradangan (inflammatiion) atau jangkitan kuman pada tulang belakang.

Realitinya,  proses diagnosis klinikal bukannya semudah seperti membuat senarai si atas. Kerana  tidak semua pesakit akan memberi gejala(symptoms) dan hasil pemeriksaan (sign) yang klasik untuk penyakit-penyakit tersebut seperti yang diharapkan. Tambahan pula kebanyakkan pesakit yang mengalami kesakitan belakang datang dengan lebih dari satu punca kesakitan/penyakit. Ianya boleh berpunca dari tulang belakang, sendi, saraf  atau otot dikawasan tulang belakang pada masa yang sama. Kebanyakan pesakit tulang belakang akan datang dengan “pakej” yang terdiri dari campuran dari punca-punca tersebut secara serentak. Contohnya disebabkan faktor masa yang lama,  slipped disc  bukan hanya akan datang dengan sakit belakang dan sciatica sahaja, tapi juga akan memberi gejala sakit sendi facet lumbar dan juga sakit dari dari otot-otot pinggul yang berpunca dari penyakit sindrom myofasia (myofascial pain syndrome). Doktor yang merawat perlu bijak mengenalpasti yang manakah punca utama (main pain generator) kesakitan belakang pesakit. Kecelaruan akan timbul kerana kebanyakan gejala penyakit dari punca –punca tersebut adalah hampir sama.
Insiden kesakitan otot belakang yang dikenali sebagai myofascial pain syndrome umpamanya, adalah  tinggi dikalangan pesakit yang mengalami kesakitan belakang yang kronik ( 63 %). Malah 36 % darinya dikenalpasti sebagai penyebab utama kesakitan belakang (main pain generator). Salah satu ciri luarbiasa penyakit otot ini ialah ianya mampu untuk menyerupai(mimic) penyakit tulang belakang yang lebih serius seperti slipped disc.  Jika sesaorang doktor itu kurang pengetahuan tentang penyakit myofascial pain syndrome ini maka pembedahan yang  tidak perlu akan berlaku. Sila baca senario dua kes yang telah saya rawat baru-baru ini;

Kes 1
Seorang guru berumur 45 tahun telah mengalami kesakitan  pinggang yang kronik yang menjejaskan aktiviti hariannya. Beliau tidak boleh berdiri dan duduk lama kerana posisi itu akan menyebabkan sakit bertambah teruk. Beliau tidak boleh memandu kerana aktiviti tersebut akan menyebabkan kesakitan pinggangnya  menjalar turun kekaki.Beliau telah dirawat oleh doktor orthopedik dan pembedahan telah dilakukan pada tulang belakangnya setelah diagnosis slipped disc dibuat berdasarkan MRI. Namun selepas dua minggu pembedahan sakitnya masih ada malah  bertambah kuat. Beliau kemudiannya dirujuk kepada pakar rawatan kesakitan kronik. Diagnosis dan rawatan dari pakar rawatan kesakitan kronik ini nampaknya berbeza sama sekali. Pesakit ini sebenarnya mengalami kesakitan dari sendi facet lumbar dan dalam disk (discogenic pain). Ini terbukti kerana rawatan suntikan radiofrekuensi yang diberikan berdasarkan diagnosis tersebut telah berjaya melegakan kesakitan pesakit dengan ketara. Beliau kini amat gembira kerana dapat melakukan semula semua aktiviti asalnya.

Kes 2
Seorang pengurus kilang  wanita berumur 60 tahun telah mengadu kesakitan kronik pada pinggang dan punggungnya selama beberapa tahun. Beliau memberikan gejala sakit pinggang yang ada kalanya menjalar turun ke dua-dua belah kakinya hingga ke betis. Berdasarkan MRI tulang belakang diagnosis spinal stenosis yang dibuat.  Pakar bedah orthopedic memutuskan untuk melakukan pembedahan pada tulang belakangnya tapi pesakit rasa takut lalu menolak rawatan pembedahan tersebut. Pesakit kemudiannya telah berjumpa pula dengan pakar kesakitan kronik untuk mendapat pandangan kedua. Nampaknya pandangan pain specialist ini agak berbeza.Walaupun beliau setuju dengan diagnosis spinal stenosis, tapi punca kesakitan sebenarnya bukan dari situ. Pesakit sebenarnya mengalami syndrom myofasia  otot punggung piriformis yang mencengkam saraf pada kedua-dua  punggungnya. Situasi ini memang diketahui kerap menyerupai gejala penyakit spinal stenosis dan slipped disc.Ini terbukti kerana dengan hanya dua kali suntikan pada otot punggungnya dan diikuti dengan senaman yang khusus, kesakitannya telah hilang sama sekali tanpa perlu dilakukan pembedahan tulang belakang.


Sakit belakang. Pastikan diagnosis dan rawatannya tepat.

1 comment:

  1. We are from WONG MEDICAL CENTRE MALAYSIA.We are unique which has a combination of western and oriental techniques for all treatments and precribes herbs medicine.We are specialised in treating Lumbar Spondylosis.Our centre is currently is well known in Medan,Jakarta,Sulmatra,Indonesia,Penang,Kuala Lumpur,Ipoh and Malaysia.Visit us at newhopemedic.com or call us now for further information Dr.Wong 0124520077 (wechat,whatsapp,line)...Tq

    ReplyDelete