SAKIT tulang ekor atau istilah perubatannya koksidinia ialah kesakitan kronik yang dirasai pada hujung tulang punggung berhampiran anus. Oleh kerana kedudukan tulang ini di hujung punggung, kesakitannya bersifat mekanikal. Maksudnya kesakitan lebih dirasai bila tekanan secara langsung dikenakan kepada tulang ekor seperti duduk atas kerusi, menunggang motosikal atau ditekan dengan jari. Ia disebabkan keradangan yang berlaku atau geseran di keliling tulang ekor itu.
Apa penyebab penyakit koksidinia?
- Kecederaan seperti terjatuh dengan punggung terhentak ke lantai
- Kecederaan selepas kelahiran anak
- Jangkitan kuman pada tulang ekor
- Penyakit kanser yang membabitkan tulang berkenaan
- Tidak diketahui puncanya
Kesakitan ini sangat menyeksakan, pesakit biasanya tidak dapat duduk tegak kerana tekanan kepada tulang ekor menjadikannya lebih sakit. Jadi pesakit cenderung untuk duduk senget di atas sebelah punggung. Akibat kedudukan tidak seimbang itu lama kelamaan pesakit mengalami pula sakit pinggang dan belakang kerana otot belakang terpaksa bekerja keras untuk kekalkan kedudukan tidak seimbang itu. Sesetengah pesakit rasa sakit pada tulang ekor bila buang air besar, terutama jika sembelit.
Apabila tidak boleh duduk lama, fungsi harian dan kerja pejabat terjejas. Pergerakan juga terjejas kerana sukar menunggang motor atau memandu kereta. Kesakitan ini tidak mampu dikawal dengan ubat penahan sakit biasa seperti postan, celebrex atau paracetamol. Malangnya tidak ramai doktor tahu merawat keadaan ini dengan berkesan.
Jika ada doktor cuba merawat menggunakan teknik psikologi, ia sebenarnya membuang masa anda. Bila menghidap kesakitan ini anda perlu bertemu pakar sakit kronik kerana mereka ada rawatan yang terbukti berkesan.
Bagaimana keadaan ini didiagnos?
Biasanya penyakit koksidinia dikesan berdasarkan sejarah pesakit dan beberapa pemeriksaan mudah. Pemeriksaan biasanya menunjukkan kesakitan ketara pada tulang ekor apabila dipicit dengan jari. Ada kes yang sukar dikesan tapi mampu didiagnosis hanya apabila dilakukan pemeriksaan rektum. Kebanyakan kes hanya memerlukan siasatan sinar- X sebagai sokongan. Ujian MRI hanya dilakukan jika penyakit disyaki berpunca daripada kanser.
Bagaimana koksidinia dirawat?
- Elak kecederaan pada bahagian tulang ekor.
- Makan ubat anti keradangan (NSAIDs) seperti postan atau celebrex. Namun ubat ini hanya berguna dalam kes kesakitan ringan.
- Suntikan ubat bius dan steroid pada tulang ekor mengurangkan rasa sakit dan keradangan ini secara ketara. Namun kebanyakan kes rawatan ini hanya memberi kelegaan dalam jangka masa pendek.
- Kaedah fisioterapi juga menolong dalam memberi kelegaan tambahan pada kesakitan ini iaitu dengan kaedah senaman regangan ligamen dan otot pelvik. Selain itu rawatan haba dengan ultrasound dapat membantu.
- Kaedah proloterapi. Kaedah ini adalah teknik utama yang berkesan dalam merawat koksidinia. Ia membabitkan suntikan cecair sclerosant di keliling tulang ekor. Agen sclerosant ini bertindak sebagai penggalak pembentukan parut dan penyembuhan baru di keliling tulang ekor. Biasanya teknik ini memerlukan suntikan beberapa kali. Pengalaman saya setakat ini terbukti berkesan hanya dengan satu atau dua kali suntikan.
- Kaedah radio frekuensi. Ini juga antara teknik rawatan utama yang berkesan. Teknik ini menggunakan suntikan jarum khas untuk menyalurkan arus elektrik radio frekuensi tinggi. Arus elektrik ini akan ‘melumpuhkan’ saraf sakit tulang ekor. Hasilnya tiada lagi rasa sakit.
Assalamualaikum tuan,
ReplyDeleteMohon nasihat, saya alami sakit di bahagian hujung tulang punggung.Dah seminggu sakit.