Thursday, July 1, 2010

Testimoni/komen pesakit yang telah sembuh

Sumber; Mstar.0nline
Jumaat Jun 25, 2010
Rupanya Ada Kaedah Rawatan Sakit Kronik Tanpa Bedah
Oleh HAMID KARIM

MENGENAL PASTI jenis rawatan yang sesuai adalah sebahagian daripada elemen penting dalam pengurusan merawat kesakitan. Namun hal ini sering terlepas pandang oleh kebanyakan pesakit khususnya di kalangan mereka yang mengidap penyakit kronik di bahagian tulang belakang yang sukar disembuhkan dalam tempoh yang lama.

Oleh sebab berlakunya kecelaruan mengurus kesakitan yang dihidapi, khususnya dalam menentu atau mengenalpasti rawatan tepat dan terbaik, banyak pesakit terlantar menderita kesakitan yang berpanjangan dan paling menyedihkan ada di antara mereka kehilangan peluang untuk sembuh seperti sediakala.

Pentingnya mengenalpasti rawatan dan menguruskan kesakitan ini ditegaskan oleh seorang pakar sakit kronik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, Dr Nizar Abdul Jalil.

Menurut beliau, kegagalan pesakit mendapat rawatan yang tepat berhubung penyakit yang mereka hidapi menjadi antara punca sakit kronik seperti cakera gelincir (slip disc) di tulang belakang atau kecederaan facet dihidapi akan menjadi liabiliti yang berpanjangan.

Akibatnya, pesakit terus-menerus menanggung kesakitan dan terlantar serta sebahagiannya seperti putus harapan untuk mencuba rawatan seterusnya.

Menerusi pengalaman sendiri, penulis didedahkan oleh Dr Nizar bahawa pesakit kronik hari ini berhak untuk mendapatkan rawatan tepat dan terbaik. Pengalaman banyak pesakit sebelum ini yang gagal sembuh daripada sakit kronik sehingga ada di antara mereka lumpuh sepanjang hayat akibat daripada kelemahan menguruskan jenis rawatan patut dijadikan iktibar.

Mengikut amalan biasa, kebanyakan pesakit kronik di negara ini terutama yang mengidap kecederaan cakera pada tulang belakang katanya, akan dirujuk kepada pakar ortopedik bagi tujuan penentuan sakit dan rawatan.

Hal ini bagaimanapun berbeza di negara jiran, Singapura kerana menurut Dr Nizar, pesakit di negara itu sebaliknya akan dirujuk terus kepada pakar sakit kronik terlebih dulu untuk didianogsis dan diberi penentuan rawatan sebelum dirujuk kepada pakar ortopedik atau yang berkaitan.

Hanya jika keadaan tidak boleh dielakkan, barulah pesakit boleh menerima cadangan pakar ortopedik agar menjalani pembedahan. Bagaimanapun, keadaan hari ini sememangnya telah jauh berubah. Pesakit berhak memperolehi pengetahuan tentang rawatan konservatif, iaitu rawatan tanpa pembedahan bagi mengelak daripada berdepan risiko yang lebih besar.

Bidang rawatan yang dipelopori oleh Dr Nizar ini membayangkan kemungkinan pesakit kronik di negara kita mempunyai peluang untuk pulih berdasarkan rawatan khusus yang dikenali sebagai rawatan suntikan Radiofrequensi. Menerusi kaedah rawatan Radiofrequensi ini, pakar sakit kronik akan hanya menggunakan suntikan bagi merawat pesakit mereka.

Jarum akan disuntik terus ke saraf cedera bertujuan mengecutkan saraf yang sakit dan sekaligus menghilangkan bisa yang ditanggung pesakit bertahun-tahun lamanya. Demikian pengalaman serupa dialami sendiri oleh penulis yang disahkan mengidap kecederaan facet di tengkuk dan bahagian belakang serta bahu yang dideritai bertahun-tahun lamanya.

Penggunaan kaedah suntikan di dalam bilik bedah yang hanya mengambil masa lebih kurang sejam dapat meredakan bisa yang menyerang tangan dan sebahagian besar tubuh penulis.

Sebelum ini, kebanyakan pegawai perubatan ditemui mencadangkan supaya rawatan dilakukan oleh pakar ortopedik dan sebagai jalan akhir pembedahan mesti dilakukan. Namun kaedah rawatan radiofrequensi yang dipelopori oleh Dr Nizar berjaya memindahkan beban sakit dan trauma bertahun-tahun tanpa melalui proses pembedahan.

Menurut Dr Nizar, pengurusan sakit yang betul yang bertujuan mendapatkan rawatan selesa dan kurang implikasi atau risiko kepada pesakit amat penting pada kehidupan hari ini. Ditambah pula dengan adanya pakar dalam sakit kronik, peluang bagi pesakit menghindarkan diri daripada dibedah tulang belakang sehingga boleh menyebabkan risiko lumpuh amat luas.

Malangnya, kata beliau, sebahagian besar pesakit kronik di negara ini belum terdedah atau mengetahui kaedah suntikan bagi merawat sakit kronik khususnya berkaitan kecederaan tulang belakang. Melalui pengalaman beliau merawat pesakit kronik sehingga kini, sebahagian besar pesakit kembali dapat meneruskan kehidupan seperti biasa melalui kaedah ini.

Menerusi kaedah suntikan, epidural streroid akan disuntik bagi mengurangkan kesakitan sama seperti proses suntikan menahan sakit bagi mereka yang ingin bersalin. Sedikit steroid akan dimasukkan bagi mengurangkan bengkak dan keradangan pada akar saraf yang terhimpit (bagi kes cakera gelincir tulang belakang).

Sepanjang terbabit sebagai pakar dalam bidang sakit kronik, Dr Nizar memang mengakui bahawa di antara 80 hingga 90 peratus pesakitnya secara umum tidak mengetahui mengenai rawatan Radiofrequensi yang tidak memerlukan mereka menjalani pembedahan sebelum datang bertemunya.

Persoalannya kini, bagaimanakah nasib pesakit kronik yang kurang terdedah kepada media yang sejak akhir-akhir ini kerap memaparkan maklumat tentang rawatan konservatif tanpa pembedahan itu?

Apakah mereka akan terus dirujuk kepada pakar ortopedik dan seterusnya disaran menjalani pembedahan tanpa mendapat pilihan lain? Mengakui hakikat itu, Dr Nizar menyarankan pesakit supaya selalu bertanya kepada doktor perubatan mengenai rawatan alternatif supaya mereka dapat memilih dan sekaligus mencuba sesuatu yang lebih rendah risikonya.

Bagaimanapun, pesakit tidak seharusnya pula menafikan standard rawatan yang digunapakai apabila berdepan kesakitan tulang belakang. Indikasi di negara ini sama seperti di negara lain, iaitu apabila rawatan konservatif atau rawatan tanpa bedah ini gagal, ia menunjukkan kecederaan saraf pada tulang belakang sudah tentu mencapai tahap kritikal.

Biasanya menurut Dr Nizar, hal ini berlaku selepas enam bulan mendapatkan rawatan konservatif tanpa bedah. Maka pesakit itu akan dirujuk kepada pakar ortopedik. Di situlah terletaknya kebijaksanaan pesakit mengurus sakitnya dengan berbincang bersama pakar ortopedik mengenai rawatan terbaik yang boleh dipilihnya.

Mengulas mengenai terma sakit kronik, beliau menjelaskan bahawa sakit ini biasanya datang tanpa disangka dan boleh berlarutan sehingga tempoh masa lama jika tidak mendapat rawatan yang tepat dan segera dan kebanyakannya berkaitan kecederaan tulang belakang.

Kesakitan ini amat merimaskan dan boleh mencapai tahap kritikal apabila pergerakan tangan atau kaki pesakit boleh terjejas. Orang ramai boleh mencuba kaedah rawatan tanpa bedah bagi merawat sakit kronik dengan menghubungi Dr Nizar Abdul Jalil di HUSM Kubang Kerian.

HAMID KARIM adalah seorang penulis bebas dan pernah menjadi ketua biro sebuah akhbar tempatan. Dr Nizar adalah pakar sakit kronik yang telah merawat penulis dan berharap bidang rawatan tanpa bedah ini dapat dikembangkan lagi bagi membantu rakyat/pesakit di negara kita.