Thursday, December 12, 2013

FAQ On Sakit Sendi Facet

Assalamualaikum Dr Nizar, saya Nurulhana dari Kedah, berumur 29 tahun. Saya telah mengalami sakit kepala bertahun lamanya, rasa sakit pada bahu malah tangan saya sering terketar-ketar dan sakit menyucuk-nyucuk seperti ada jarum serta berasa lemah dan kebas dikedua tangan dan kaki sejak 2004. Kadang-kala apabila memegang barang, terlepas. Setelah berapa lama saya mendapat rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan dirujuk ke Hospital Pulau Pinang, mereka masih tidak mengetahui punca penyakit saya. Akhirnya, dalam bulan 9 lepas, kerana tidak dapat menahan sakit lagi saya pergi ke kecemasan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan kebetulan pada masa tu seorang doktor dari bahagian orthopedik meminta saya membuat X-ray tengkuk. Keputusan X-ray menunjukkan tulang tengkuk saya lurus dan seterusnya saya diusulkan untuk membuat MRI Cervical Spine. Saya mengambil keputusan membuat MRI tersebut dihospital swasta kerana untuk temujanji di Hospital Sultan Abdul Halim mengambil masa. Keputusan MRI tersebut saya bawa ke Hospital Sultan Abdul Halim dan akhirnya saya dirujuk ke Pakar Orthopedic. Keputusan dari MRI menunjukkan ada Disc Herniation (Sliped Disc) ke arah belakang dan bersentuh dengan selaput saraf tunjang tetapi belum menekan saraf tunjang. Level yang terlibat dari C3 hingga C7. Saya diberi ubat Neurotin (Gabapentin) kapsul dan vitamin B.
Saya juga membuat fisioterapi (Cervical Traction) tetapi setiap kali selepas rawatan saya akan berasa pening dan sakit pada bahagian belakang (bawah) kepala. Mereka tidak lagi membuat traction tapi menggantikannya dengan ultrasound tetapi saya tetap berasa sakit dan kebas ditangan dan kaki serta sakit dibahagian bahu dan kepala yang amat sangat dan selalu rasa loya. Segala aktiviti seharian saya terganggu oleh kesakitan tersebut. Doktor cakap keputusan MRI tersebut adalah 'mild' tetapi saya terasa kesakitan yang amat sangat. Persoalannya, adakah saya terpaksa menanggung kesakitan ini seumur hidup? Adakah penyakit saya boleh dirawat dan bagaimanakah cara rawatannya? Di sini juga saya sertakan keputusan ujian MRI. Saya harap doktor dapat membantu dan memberitahu serba sedikit kaedah rawatan yang bersesuaian. Sekian, terima kasih.

Jawapan Dr Nizar

Salam. Apa khabar Nurulhana? Harap dapat bersabar dan ceria-ceria selalu  kerana masih ada harapan baru untuk sembuh. Apa yang anda hadapi sekarang ialah sakit sendi facet tengkok (Cervical Facet Syndrome) sejenis arthritis sendi pada leher. Ia memberi semua simptom yang anda bagitahu termasuklah “accessory” lain seperti gejala ENT telinga berdengung dan rasa hanyut seperti hendak pitam (dizziness), perut banyak angin/simptom gastritis dan kerabunan mata. Ini bukan sakit Slipped Disc tengkok. Jadi saya tidak hairan dengan keputusan MRI tengkok anda normal atau Slipped Disc yang “sedikit”. Sakit sendi facet tidak dapat dikesan melalui ujian MRI kecuali jika sampai ketahap yang “advance”.
Ramai pesakit datang menerima rawatan dari saya dan cerita mereka semua sama saja seperti cerita anda. Kebanyakan doktor pakar pun tidak dapat mengenalpasti penyakit ini termasuklah Spine Surgeon. Kebanyakan pesakit sudah banyak ikhtiar dan hampir kecewa. Ada juga yang mengalami kemurungan apabila simptom-simptom ini menyukarkan kehidupan seharian mereka. Keadaan ini akan lebih teruk lagi apabila doktor mengatakan tidak ada penyakit yang dikenalpasti.
Semua rawatan yang sudah anda buat termasuk traction sebenarnya tidak perlu. Ubat tahan sakit pun biasanya tidak berkesan apabila keadaan anda sudah teruk. Rawatan yang terbaik ialah suntikan RF pada sendi tengkok tersebut. Kejayaan rawatan suntikan RF ini dalam 80%. Kelegaan besar akan dirasa lepas 12 jam selepas suntikan (esok pagi). Semua simptom yang anda berikan itu dapat dirawat tetapi yang paling degil ialah rasa hanyut dan berdengung telinga, mungkin perlu suntikan kali kedua untuk plan B jika simptom hanyut masih ada. Jangan hidup menderita dalam kesakitan sedangkan ada rawatan yang efektif. Penyakit ini tidak akan menyebabkan mati seperti sakit jantung atau kanser. Tetapi penyakit ini memberi rasa sakit dan merana seolah-olah mematikan kehidupan. Jika dibiarkan, sakit kronik ini akan menyebabkan anda menjadi hilang upaya contohnya tidak boleh bangun, berjalan, memandu kereta malah bekerja dipejabat disebabkan oleh rasa hanyut dan berpusing-pusing.